SSI Tak Mungkin Mampu Pecah Rekod Kehadiran Aksi Persahabatan Harimau Malaya Sebelum Ini?

SSI JDT Harimau Malaya aksi pemanas badan

Adakah Stadium Sultan Ibrahim (SSI) mampu menggamit kehadiran lebih ramai penyokong Harimau Malaya untuk menyaksikan aksi persahabatan?

Kita tolak ketepi dahulu perlawanan-perlawanan yang melibatkan pusingan kelayakan Piala Dunia, kelayakan Piala Asia dan juga Piala AFF. Aksi-aksi ini sentiasa mampu untuk membawa lebih ramai penyokong turun ke stadium dek kerana ia adalah pertandingan utama dalam jadual skuad kebangsaan.

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pernah melimpah dan melebihi kapasiti ketika aksi Piala AFF terutamanya di peringkat separuh akhir dan akhir.

Untuk aksi pemanas badan, selalunya kehadiran Ekor Harimau Malaya agak suram dan susah untuk menjangkau angka 10,000 penyokong di era kini.

Rekod tertinggi di era Kim Pan-gon?

Jadi, berdasarkan rekod terkini yang Semuanya BOLA cuba dapatkan, rekod tertinggi kehadiran di era kini adalah pada sekitar 19,075 penyokong turun menyaksikan skuad kebangsaan berjaya untuk mengatasi Hong Kong 2-0 di SNBJ pada 1 Jun 2022, hasil jaringan Safawi Rasid dan Safiq Rahim.

Tidak dinafikan ia hasil impak kehadiran pengendali baharu, Kim Pan-gon.

Prestasi dan gaya permainan skuad yang dikendalikannya lebih menarik minat penyokong untuk turun menyaksikan pasukan beraksi di depan mata.

Rekod kedua tertinggi adalah ketika Malaysia membenam Brunei 4-0, juga di era Kim iaitu pada 27 Mei 2022 dengan 13,281 penyokong telah hadir.

Selebihnya, jumlah kehadiran penyokong adalah di bawah angka 10,000.

Itu rekod kehadiran yang diperolehi di portal 11vs11 dan untuk rekod lama, tidak dapat dipastikan berapa jumlah terbesar untuk aksi pemanas badan.

Kali pertama SSI jadi tuan rumah

Ini merupakan kali pertama SSI menjadi tuan rumah untuk Harimau Malaya dan adakah ia mampu menggamit kehadiran lebih ramai penyokong?

Kapasiti SSI adalah 40,000 penonton dan jika tidak salah, rekod kehadiran tertinggi untuk aksi melibatkan JDT adalah 31,889 penyokong iaitu di Piala Sumbangsih 2023 yang menyaksikan JDT menang 2-0 ke atas Terengganu.

Stadium ini masih baru dan mula digunakan oleh JDT pada musim 2020. Sebelum ini mereka menggunakan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Ini bukan kali pertama Harimau Malaya bermain di luar Lembah Klang atau lebih tepat di luar SNBJ. Sudah beberapa kali perlawanan dilangsungkan di stadium lain umpamanya Stadium KLFA, Stadium Shah Alam – masih di kawasan Lembah Klang, malah pernah juga dilangsungkan di lokasi lain iaitu Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dan Stadium Darul Makmur.

Menariknya, Stadium Larkin juga pernah menjadi tuan rumah sekitar tahun 2016 dan 2017, tetapi untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2019.

Lokasinya yang sangat hampir dengan Singapura

Dengan lokasi perlawanan adalah di Selatan tanah air, dijangka, mungkin penyokong dari Utara atau Pantai Timur sedikit sukar menghadirkan diri.

Berbanding perlawanan yang berlangsung di Lembah Klang – titik tengah di semenanjung tanah air, mungkin perlawanan di Selatan sedikit memberikan kesukaran buat mereka meluangkan masa turun memberikan sokongan.

Tambahan pula lokasi SSI yang berada di selatan Johor, berhampiran dengan Singapura – kurang 20km untuk sampai ke Jambatan Link Kedua.

Dari pintu masuk ke negeri Johor iaitu Tangkak menuju ke Iskandar Puteri – lokasi SSI, ia mengambil masa hampir dua jam dengan jarak 180km.

Dan difahamkan oleh rakan di Johor, kemudahan pengangkutan awam di Gelang Patah atau Iskandar Puteri ini masih boleh dikatakan agak terhad.

Namun, ini peluang buat penyokong dari kawasan sekitar terutamanya di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan untuk menonjolkan kekuatan sokongan mereka pula untuk berada di belakang skuad kebangsaan pada saat ini.

Ia bertepatan dengan seruan Kim pada sidang media semalam iaitu beliau mengharapkan sokongan padu daripada rakyat Johor seperti di Bukit Jalil.

Fenomena awal Ramadan sekat kehadiran lebih ramai?

Kita tahu setiap kali Ramadan tiba, ada tabiat-tabiat yang disukai oleh umat Islam di negara ini – majoritinya. ‘Done berbuka’, ‘done tarawih’ dan lain-lain lagi akan tular di media sosial. Masing-masing tidak mahu ketinggalan.

Perlawanan Harimau Malaya pula adalah pada malam ini iaitu hari pertama umat Islam di Malaysia berpuasa dan malam kedua kita bertarawih.

Adakah fenomena menyertai kerancakan aktiviti ‘done’ untuk bulan puasa ini akan mengurangkan kerancakan kehadiran mereka di stadium nanti?

Mungkin agak mustahil untuk kita melihat umat Islam memuat naik status ‘done’ menyokong skuad kebangsaan di SSI pada bulan yang mulia ini.

Selain itu, dengan hari pertama kita memasuki ke bulan Ramadan, tentunya semua mengejar ‘menunjukkan’ sisi ‘baik’ dan ‘mulia’ masing-masing.

Lokasi stadium juga agak jauh memungkinkan penyokong sukar untuk memilih masa yang sesuai untuk ke sana. Tentunya di hari pertama puasa, masing-masing mahu berbuka dan bertarawih bersama keluarga mereka.

Adakah SSI akan merekodkan jumlah kehadiran yang tinggi untuk aksi persahabatan Harimau Malaya sehingga memecah rekod sebelum ini? Ataupun kita akan melihat jumlah kehadiran suram seperti sebelum ini?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN