Sri Pahang yang masih segar dengan kejayaan mereka mengatasi Selangor pada aksi Lig Super lalu, pastinya kini bersemangat untuk mengharungi aksi seterusnya menentang Sabah di Likas.
Beraksi di gelanggang lawan, pastinya ia bukan suatu tugas mudah buat Sri Pahang kerana Sabah pastinya bakal mendapat sorakan padu daripda penyokong mereka sendiri sepanjang 90 minit aksi berlangsung.
Namun, Fandi Ahmad pastinya tidak rela untuk keciciran sebarang mata untuk memastikan mereka terus bersaing dalam kedudukan tiga terbaik ketika ini dalam aksi Liga Super.
Tampil dengan sedikit rombakan pada barisan pemain import, Sri Pahang mula menunjukkan belang mereka ketika aksi lalu di Stadium Darul Makmur (SDM) untuk menewaskan Selangor menerusi keputusan 1-0.
Kelibat pemain tengah baharu mereka iaitu Kuvondik Ruziev antara perlu diberi perhatian penuh oleh Sabah, kerana tonggak import terbaharu Srip Pahang ini tampil begitu cemerlang untuk mengawal tempo permainan.
Selain bijak mengawal posisi tengah, Ruziev juga memiliki kreativiti untuk mencetuskan serangan serta meneutralkan segala tekanan yang cuna dilakukan oleh pasukan lawan.
Jika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengambil mudah aksi pada hari ini, berkemungkinan besar Sri Pahang bakal meneruskan konsistensi mereka untuk meraih tiga mata seterusnya di gelanggang lawan.
Sabah yang ketika ini turut membuat rombakan di beberapa posisi juga tampil menonjol pada perlawanan lalu ketika mereka berjaya menewaskan Kuching City menerusi keputusan penuh 4-3.
Aksi penyerang import baharu mereka iaitu Ramon Machado paling mencuri tumpuan selepas beliau berjaya membuktikan ketajamannya menerusi dua jaringan untuk membantu kemenangan Sabah.
Selain tajam di hadapan gol, Machado telah pun membuktikan beliau cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan Sabah untuk mempamerkan aksi berkualiti pada perlawanan sulung.
Walaupun begitu, benteng pertahanan Sabah tampak agak goyah dengan melepaskan tiga gol sepanjang separuh masa kedua pada perlawanan lalu dan hampir dihukum oleh pelawat.
Pastinya Ong menyedari isu tersebut untuk kembali memperbaikinya menjadi lebih baik atau ianya bakal memberi ruang besar buat Sri Pahang untuk mengintai peluang mengeksploitasinya.
Seperti diketahui Sri Pahang juga memiliki rantaian pemain serangan berkualiti dan keutuhan pertahanan Sabah bakal diuji pada aksi ini untuk menentukan siapa layak meraih kemenangan atau masing-masing sekadar terikat seri.