Sri Pahang bakal mengharungi aksi kedua mereka dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 hari ini dengan perlawaanan seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang Kuching City.
Beraksi di gelanggang lawan, sudah tentu ia bakal memberi cabaran lebih sukar buat skuad kendalian Fandi Ahmad untuk cuba mendapatkan tiga mata kedua mereka pada musim ini.
Apatah lagi pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu sudah pun membuat rombakan sangat besar pada musim ini menerusi kemasukan ramai pemain tempatan serta import baharu.
Jika musim lalu Sri Pahang berjaya meraih kemenangan berganda daripada dua pertembungan bersama Kuching City, sudah tentu rekod tersebut ingin terus dipertahankan Fandi.
Namun ianya pasti tidak mudah buat Tok Gajah kali ini kerana persiapan dibuat Kuching City memberi isyarat jelas mereka tidak ingin mengulangi kelemahan musim lalu.
Melihat kepada skuad kendalian Aidil Sharin kali ini, mereka mempunyai barisan pemain serba lengkap di segenap posisi termasuk nama besar seperti Rodney Celvin Akwesivie serta Arif Fadzilah di bahagian pertahanan.
Malah, benteng pasukan tersebut turut diperkuatkan oleh bekas pertahanan PDRM musim lalu dari Nigeria iaitu James Okwuosa untuk mematikan setiap ancaman cuba dibuat Sri Pahang.
Pada aksi lalu, Kuala Lumpur City (KL City) jelas menghadapi kesukaran untuk menembusi benteng kebal Kuching City yang diketuai oleh James Okwuosa selain kualiti permainan terbaik turut dipamerkan Jimmy Raymond.
Ini menjadi sesuatu yang perlu dikaji oleh Fandi pada aksi tersebut selain beliau perlu memperbaiki kelemahan serangan Sri Pahang yang dibuktikan pada perlawanan lalu.
Pada aksi lalu, Sri Pahang menghadapi isu penyudah di hadapan gawang gol walaupun mereka mempertaruhkan barisan pemain terbaik seperti Kpah Sherman serta Manuel Hidalgo.
Kelemahan itu antara perlu diatasi kerana lawan mereka kali ini jelas berada pada tahap terbaik daripada segi pertahanan serta berkelebihan beraksi di halaman sendiri untuk mendapat sorakan padu para penyokong.
Faktor lain, kelebihan pemain seperti Kuvondik Ruziev bersama Hidalgo sangat ditagih daripada segi kreativiti mencipta peluang ke arah gol dan mereka perlu menggunakan setiap situasi sepakan percuma sebaik mungkin.
Jika Sri Pahang tampil kurang bersedia pada aksi hari ini, ada kemungkinan Kuching City akan memanfaatkan setiap peluang untuk cuba meraih tiga mata sulung mereka musim ini.