Selepas pelantikan Ronald Koeman selaku pengendali baharu Barcelona pada Rabu lalu, mereka seterusnya membawa masuk Alfred Schreuder dan Henrik Larsson.
Kedua-duanya akan menjadi pembantu kepada Koeman dalam melayari saingan musim depan yang pastinya mencabar di saat bintang sensasi dan kapten mereka, Lionel Messi dikhabarkan meminta untuk keluar daripada juara 26 kali La Liga itu.
Sediakan £90 juta kalau mahu
Kenapa pula Spartak Moscow minta Barcelona sediakan £90 juta? Sedangkan Henrik Larsson sudah hampir setahun tidak terlibat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan kelab Sweden, Helsingborgs akibat tekanan di media sosial.
Rupanya ia adalah satu bentuk gurauan kelab tersebut yang merupakan majikan kepada anak bekas penyerang Barcelona itu, Jordan Larsson yang kini merupakan penyerang buat kelab yang berpengkalan di Rusia itu. Beliau kini berusia 23 tahun.
Pernah bersama akademi Barcelona, La Masia di usia mudanya, Jordan memulakan karier profesionalnya bersama kelab divisyen 4 di Sweden, Hogaborg pada 2012 sebelum dikhabarkan cuba dipancing oleh Manchester United setahun kemudian.
Selepas lapan tahun, beliau kini baru sahaja menyertai juara 22 kali Russian Premier League pada Ogos 2019. Dan jika Larsson dan Barcelona mahu Jordan berhijrah ke Sepanyol, Spartak Moscow mahukan yuran perpindahan sebanyak £90 juta!
Pernah main bersama Koeman
Larsson merupakan penyerang Barcelona pada musim 2004 hingga 2006 dan telah membantu mereka menjulang dua kejuaraan La Liga dan Champions League.
Musim pertamanya di Barca selepas menyertai secara percuma daripada Celtic dirundung kecewa apabila telah mengalami kecederaan ACL ketika pertembungan dengan Real Madrid dan hanya sempat membuat 16 penampilan musim itu.
Setahun kemudian, dua bantuan golnya di pentas final Champions League 2006 telah membantu Barcelona bangkit menewaskan Arsenal dengan keputusan 2-1 untuk mereka menjulang trofi kejuaraan tertinggi Eropah itu. Henrik Larsson effect!
Selain melalui karier bersama Celtic dan Manchester United, Larsson juga pernah bermain bersama Koeman di Feyenoord sekitar tahun 1995 hingga 1997.
Penutup
Larrson dikenali dengan keperibadian, disiplin yang tinggi, profesionalisme dan kerja kerasnya sepanjang karier bola sepaknya. Beliau juga memiliki penyudah yang baik dan tepat. Mungkin atas faktor itu, Barcelona membawanya menyertai Koeman.
Apa yang anda masih ingat mengenainya? Bak kata Thierry Henry pasca final Champions League 2006, “Orang perlu bercakap mengenai pemain bola sepak yang mampu membuat perbezaan, dan itulah yang dilakukan Henrik Larsson malam ini.”
KREDIT FEATURED IMAGE: Golos PT