RASMI: Koeman Dilantik Sebagai Pengurus Barcelona

Kelab La Liga, Barcelona telah menamakan Ronald Koeman sebagai pengurus baharu mereka, dua hari selepas kelab tersebut memecat Quique Setien.

Jurulatih berusia 57 tahun itu telah meninggalkan tugasannya bersama skuad kebangsaan Belanda dan menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab gergasi Sepanyol berkenaan.

Beliau juga pernah bermain untuk Barcelona bermula dari 1989 hingga 1995 dan membantu mereka menjuarai empat kejuaraan liga dan Piala Eropah.

Kelab Catalan tersebut gagal mempertahankan kejuaraan La Liga musim lepas dan tidak memenangi sebarang trofi buat kali pertama sejak musim 2007/08.

Lima mata dipisahkan dengan juara liga, Real Madrid dan kekalahan mengaibkan 8-2 kepada Bayern Munich tempoh hari di suku akhir saingan Liga Juara-Juara Eropah menjadi sebab utama kepada pemecatan Setien pada Isnin lalu.

Kelab tersebut juga telah mengumumkan pelantikan Ramon Planes sebagai Pengarah Teknikal yang baharu. Beliau sebelum ini merupakan pembantu kepada Eric Abidal yang telah meninggalkan jawatan tersebut pada Selasa.

Pengalaman pertama Koeman dalam bidang kejurulatihan bermula apabila beliau menjadi pembantu jurulatih kepada Guus Hiddink ketika kejohanan Piala Dunia 1998 sebelum menjadi orang kanan Louis van Gaal di Nou Camp pada 1998 hingga 2000.

Beliau kemudian berjaya menempa kejayaan di negara kelahirannya ketika membimbing Ajax dan PSV Eindhoven dengan menjuarai liga. Beliau juga pernah menjuarai Copa del Rey ketika bersama Valencia pada 2007, tetapi telah dipecat selepas pasukan tersebut menamatkan saingan liga hanya dua mata dari zon penyingkiran.

Selepas menjadi pengurus di AZ Alkmaar dan Feyenoord, Koeman kemudian disunting oleh Southampton pada 2014 di mana beliau berjaya membawa pasukan berkenaan menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketujuh dan keenam yang membolehkan pasukannya itu bersaing di Liga Europa (UEL).

Namun tempoh 18 bulan di Everton berakhir dengan kegagaglan dan Komen meninggalkan kelab tersebut ketika sedang menghuni zon penyingkiran EPL.

Namun segala kekecewaan itu pantas dilupakan apabila beliau dilantik sebagai ketua jurulatih Belanda pada Februari 2018 yang gagal layak ke kejohanan Piala Dunia 2018.

Koeman berjaya membawa pasukan tersebut mara ke final Liga Negara-Negara UEFA dan turut layak ke kejohanan EURO 2020 dengan keputusan yang sangat memberangsangkan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Ronald Koeman dan Barcelona:

 

Leave a Reply