Mauro Icardi enggan menyertai skuad Inter Milan yang akan ke Austria untuk perlawanan menentang Rapid Vienna di saingan UEFA Europa League, selepas pemain itu dilucutkan peranan kapten oleh pengurus pasukan, Luciano Spalletti.
Penyerang Argentina berusia 25 tahun itu memiliki kontrak sehingga 2021 untuk kekal di San Siro. Namun pihak kelab sebenarnya sedang melakukan rundingan untuk memberikan tawaran kontrak baru bersama isteri beliau, Wanda Nara yang bertindak sebagai ejen pemain itu.
Demi kebaikan pasukan
Spalletti sebelum ini berkata tindakan melucutkan peranan kapten dari Icardi adalah demi kebaikan pasukan.
Penjaga gol, Samir Handanovic kini menganmbil alih peranan sebagai kapten pasukan yang baru dari Icardi. Bercakap kepada media seperti yang dilaporkan oleh Calcio Mercato, Icardi ‘enggan bersama-sama; dengan pasukan di Austria.
“Icardi mendapat panggilan untuk ke Vienna, namun memilih untuk enggan berbuat demikian. Ada perkara di sekeliling beliau yang menganggu pemain ini, dan juga pasukan yang beliau pimpin sebagai kapten.
“Sekarang kami hanya mahu memberikan fokus untuk perlawanan pada Khamis ini,” jelas Spalletti mengenai kedudukan pemain tersebut.
Bakal diambil tindakan?
Penjaga gol antarabangsa Slovenia, Handanovic menyertai Inter Milan dari Udinese pada 2012. Icardi yang tiba di San Siro dari Sampdoria pada 2013 mengambil alih peranan kapten dari Andrea Rannocchia pada 2015.
Icardi memiliki 8 caps bersama Argentina, dan telah menjaringkan 122 gol dari 208 penampilan untuk Inter yang kini berada di kedudukan ketiga Serie A.
Namun pasukan itu kini sudah ketinggalan 20 mata berbanding pendahulu, Juventus.
Laporan dari Itali turut mengatakan tindakan susulan terhadap Icardi akan diputuskan selepas pasukan itu kembali dari Austria Jumaat ini.