Pengendali England, Gareth Southgate menghamburkan pujian diatas aksi hebat Raheem Sterling yang melakukan hatrik membantu pasukan menang bergaya 5-0 menewaskan Republik Czech dalam saingan kumpulan A, kelayakan Piala Eropah 2020, Sabtu lalu.
Kemenangan tersebut meletakkan England kini mendahului Kumpulan A menjelang kunjungan awal pagi ini ke Montenegro, yang seri 1-1 dengan Bulgaria.
Potensi jadi kapten
Sterling hanya menjaringkan dua gol dalam 45 kaps pertamanya, namun beliau kini dilihat semakin matang dalam peringkat antarabangsa dengan mengumpul lima gol dalam tiga penampilan terakhir bersama England.
Melihat dengan prestasi cemerlang pemain sayap Manchester City itu, Southgate percaya Sterling layak menjadi kapten England dimasa akan datang.
Beliau berkata, “Kami mempunyai tiga atau empat pemain yang boleh menjadi kapten pasukan, dan Raheem [Sterling] sedang mengembangkan banyak kualiti seperti yang dimiliki orang-orang itu.”
“Sulit untuk bercakap mengenai potensi kapten pasukan, sementara kapten (Harry Kane) sedang menanti di hotel untuk makan malam. Tetapi dari segi kualiti keperibadian, dia (Sterling) telah berjaya menunjukkan kualiti peribadi yang luar biasa.”
Tersenarai dalam kelompok kepimpinan
Southgate menjelaskan bahawa Sterling kini telah disenaraikan dalam kelompok kepimpinan The Three Lions bersama Harry Kane, Jordan Henderson, Ashley Young, dan Fabian Delph.
“Saya memutuskan untuk mempromosikannya ke dalam kelompok kepimpinan diantara bulan November dan Mac, memantau kematangannya serta pengaruhnya.”
“Saya fikir saat orang ramai bercakap mengenai pemain muda, dia adalah nama pertama yang disebut telah membuatkan mereka berasa tenang. Itu adalah langkah yang sangat penting baginya,” jelas Southgate.