Halim Saari: “Cheng Hoe Beri ‘Penampilan Sulung Kedua’ Saya Di Bawah Kendaliannya”

Halim Saari

Bercakap kepada The Star, pemain tengah Selangor, Abdul Halim Saari gembira dengan peluang meraih penampilan pertamanya bersama Harimau Malaya dalam aksi Piala AIRMARINE 2019.

Halim Saari meraih kaps pertamanya di babak kedua menentang Singapura sebelum muncul dalam kesebelasan utama ketika mereka menewaskan Afghanistan 2-1 pada Sabtu.

Kemasukkannya pada babak kedua ketika tewas kepada Singapura dilihat berjaya memberi nafas baharu di jentera tengah yang tampak bergelut sepanjang 45 minit pertama.

Menolak Nor Azam Azih untuk berada lebih ke atas, dia mempamerkan gandingan berkesan bersama Akram Mahinan untuk menyeimbangkan zon tengah Harimau Malaya.

Dan dalam aksi menentang Afghanistan, berpunca daripada hantaran diagonalnya, rakan sepasukan di Selangor, Mohd Faiz Nasir berjaya meledak gol penyamaan skuad kebangsaan.

“Saya gembira untuk penampilan pertama saya. Tetapi ada juga pedihnya. Kita tewas kepada musuh ketat, Singapura namun kembali bangkit menentang Afghanistan.

“Keseluruhannya, saya gembira dengan peluang yang telah diberikan kepada saya,” ujarnya kepada The Star.

Berhijrah dari Kedah ke Selangor untuk saingan liga musim ini, Halim Saari dapat merasai aksi dalam kesebelasan utama skuad kendalian B. Satiananthan setakat ini dan telah membantunya mendapat panggilan skuad kebangsaan.

Bersama Selangor, Halim Saari telah mempamerkan sentuhan-sentuhan hantaran baiknya samaada dekat mahupun jauh. Dia juga mahir melepaskan bola kepada penyerang pada masa yang tepat.

Dalam pada itu, pemain tengah berusia 24 tahun itu amat berterima kasih kepada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe atas peluang dan mengharapkan ia bukan kali terakhir.

FOTO: Goal

“Dia (Cheng Hoe) adalah jurulatih yang bertanggungjawab memberikan saya penampilan pertama bersama Kedah dan kini dia berikan saya peluang untuk bersama skuad negara.

“Saya berharap akan dapat lebih banyak lagi panggilan selepas ini. Saya selalu memberikan yang terbaik kepadanya. Saya juga mahu meneruskan momentum ini,” tambahnya lagi.

Gandingannya bersama Akram Mahinan bukan asing lagi kerana mereka berdua sudah saling mengenali sejak zaman remaja lagi – ketika beraksi bersama-sama di Kulim, Kedah.

Dalam temubual bersama Semuanya BOLA tahun lalu, Akram pernah menamakan yang Halim Saari dan Liridon Krasniqi sebagai pemain yang mudah untuknya berkolaborasi.

Leave a Reply