Disebabkan perjanjian asal Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus interim sehingga penghujung musim ini bersama Molde, maka tidak hairanlah Manchester United sering dikaitkan dengan beberapa pengurus lain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Jose Mourinho secara tetap.
Solskjaer kembali ke Old Trafford -setelah karier cemerlang sebagai pemain- untuk menggantikan Mourinho, dan kini telah membantu bekas kelab beliau itu mencatatkan tujuh kemenangan secara berturut-turut dalam semua pertandingan.
Namun demikian, ia tidak menghalang Manchester United untuk meneruskan pencarian pengurus tetap, dengan beberapa nama besar termasuk pengurus England, Gareth Southgate turut dikatakan antara calon yang dipertimbangkan oleh hierarki di Old Trafford.
Southgate jawab spekulasi
Enggan spekulasi tersebut berlarutan, Southgate tampil untuk menjelaskan perkhabaran yang mengaitkn beliau dengan jawatan bersama juara 20 kali Liga Inggeris itu.
Dilantik sebagai pengurus The Three Lions pada November 2016, Southgate menolak sebarang kemungkinan untuk dirinya akan ke Old Trafford disebabkan beliau masih punyai cita-cita dan sasaran yang belum tercapai bersama pasukan kebangsaan England.
Bercakap kepada Sky Sports, Southgate berkata: “Saya adalah pengurus pasukan England, dan ia adalah satu penghormatan untuk memegang jawatan ini.
“Kita berada di tahap terbaik sejak 28 tahun yang lalu, dan telah mara ke separuh akhir UEFA Nations League pada musim panas akan datang. Begitu juga Kejohanan Eropah [Euro 2020] pada 2020 yang turut akan dilangsungkan di Stadium Wembley, dengan syarat kita layak ke kejohanan itu.
“Jadi ia adalah tempoh yang amat mengujakan menanti pasukan ini. Pasukan ini belum berada di tahap seperti yang semua mahukan, namun saya berpendapat ruang untuk penambahbaikan itu sentiasa ada.”
Gembira bersama England
Perwatakan Southgate menyebabkan beliau disenangi di kalangan hierarki di The FA -yang melanjutkan kontrak beliau bersama England selama lima tahun pada Oktober tahun lalu.
Bekas pemain pertahanan itu juga disenangi oleh media dan turut menarik perhatian penyokong dengan penampilan beliau yang sentiasa kemas.
“Saya berpendapat di dalam kehidupan, ianya amat penting untuk melakukan apa yang paling anda gemar lakukan.
“Saya adalah jurulatih muda, dengan rekod kurang dari 200 perlawanan. Kerana itu, ia adalah satu penghormatan untuk bergelar pengurus England, dan saya benar-benar sukakan apa yang saya lakukan sekarang,” tambah beliau lagi.