Berdasarkan kiraan matematik, tiada lagi pasukan dari kumpulan E yang sudah melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 kerana persaingan masih terbuka untuk tiga pasukan – Bahrain, Malaysia dan Turkmenistan.
Malaysia juga masih berpeluang untuk muncul juara kumpulan sekiranya menang ke atas Bangladesh dengan jaringan besar dan mengharapkan kemungkinan Turkmenistan membuat kejutan menewaskan Bahrain.
Namun sasaran yang lebih realistik buat masa ini adalah mengumpul enam mata bagi merebut slot lima naib juara terbaik dari enam kumpulan.
Berikut adalah tiga taktikal atau pendekatan yang boleh digunakan untuk meraih kemenangan besar ke atas Bangladesh.
Serang, serang dan serang!
Malaysia seharusnya memanfaatkan kesempatan terbaik berdepan pasukan ‘bukan pilihan’ Bangladesh yang sudah pun sah tersingkir secara matematik dari saingan untuk mara ke pusingan akhir kejohanan.
Berdasarkan empat perlawanan (termasuk aksi persahabatan) yang telah dilalui dalam masa terdekat, tentunya Kim Pan-gon sudah mengenal pasti pemain terbaik untuk dipilih dalam perlawanan seterusnya.
Formasi, Statistik & ‘Attacking Football’ Antara 5 Perubahan Awal Kim Pan-gon Bersama Harimau Malaya
Setakat ini Kim Pan Gon telah membuktikan set pemain dan formasi yang berbeza masih mampu mengekalkan tempo permainan pantas yang diterapkan.
Sama ada 4-3-3 atau 5-2-3, corak permainan menyerang harus dijelmakan dengan memanfaatkan pemain-pemain yang pantas serta memiliki teknik individu yang baik seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Safawi Rasid bagi dipilih dalam kesebelasan utama.
‘Sorok but’ De Paula
Idea ini merupakan refleksi kepada hakikat suara hati penyokong Harimau Malaya.
Usah diterjemahkan istilah ‘sorok but’ itu secara literal. Apa yang dimaksudkan adalah pastikan Guilherme de Puala tidak beraksi semasa perlawanan terakhir nanti.
Wartawan Ini Cuba Merungkai Tindakan Penyokong Harimau Malaya Bersorak “De Paula! De Paula!” Di SNBJ
Selepas empat perlawanan beliau diturunkan selaku pemain gantian, ternyata tiada apa-apa impak positif yang mampu dijelmakan oleh penyerang naturalisasi negara itu, malah sering dianggap sebagai ‘perosak’ kepada tempo permainan Malaysia.
Maka jika mahu meraih kemenangan ke atas Bangladesh dengan jaringan besar, De Paula bukanlah pilihan yang baik untuk mendapatkan sebanyak mungkin gol.
Cukup dengan mengekalkan Darren Lok selaku penyerang utama dan Syafiq Ahmad sebagai sandaran memandangkan kedua-duanya mempunyai kadar kerja yang tinggi yang mampu menghadirkan ancaman kepada barisan pertahanan lawan.
Aura pemain ke-12
Malaysia ternyata amat beruntung apabila dipilih sebagai tuan rumah untuk ketiga-tiga perlawanan kelayakan dan ia merupakan kesempatan terbaik buat para penyokong untuk membanjiri Stadium Nasional Bukut Jalil (SNBJ) bagi memberi sokongan kepada skuad negara.
Bermain di laman sendiri, penyokong merupakan elemen terpenting terutamanya skuad negara. Ia telah pun terbukti apabila atmosfera di SNBJ menjadi begitu menakjubkan tatkala penyokong melaungkan sorakan gemuruh di segenap sudut.
Kim Pan-gon Terpegun Sokongan Penyokong & Ultras Malaya – “Ini Yang Kami Nantikan!”
Secara psikologinya, gelombang luar biasa itu akan menggugat keyakinan pemain pasukan lawan dan ianya diakui oleh Ketua Jurulatih Bahrain, Helio Sousa dalam sidang media selepas perlawanan.
“Malaysia
Beri Kemenangan
Beri Kejayaan
Demi Kebanggaan!
Malaysia
Kaulah Pertiwiku
Hanya kau yang satu
Tanah tumpah darahku!”
Ayuh Malaysia!