“Pemain saya bukan jenis yang suka ‘berbalah’, tetapi nampaknya aksi hari ini jadi sebegini,” jelas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari di sidang media selepas mengatasi Penang 2-0 di Stadium Bandaraya.
Ini memberikan mereka kemenangan penuh dalam 13 perlawanan pusingan pertama Liga Super 2023 waima berdepan tentangan sengit tuan rumah.
Untuk rekod, JDT mengumpul 39 mata maksimum dengan melakar 51 jaringan gol dan dibolosi satu gol – hanya menerusi sepakan penalti.
“Saya berbangga. Saya berbangga dengan pemain-pemain saya kerana saya beritahu mereka hari ini bukan satu aksi yang mudah disebabkan ia aksi terakhir pusingan pertama. Ia bukan mudah adakalanya,” ungkapnya.
Beliau memberikan contoh bagaimana pendapat orang yang mengatakan sesuatu perlawanan itu mudah yang sebenarnya tidak semudah dijangka.
“Hari ini Selangor kalah kepada PDRM. Semua orang katakan ia perlawanan yang mudah [buat Selangor],” jelasnya kepada pihak media mengenainya.
Solari jelas gembira dengan pencapaian pasukannya tetapi sedikit hairan dengan situasi ‘panas’ melibatkan pemainnya yang baginya, itu bukan diri mereka yang sebenar. Mungkin situasi perlawanan ‘membangkitkannya’.
Malah, Solari juga dipetik mengaitkan suasana dan sifat agresif penyokong Penang yang dilihat seolah-olah seperti di negara kelahirannya, Argentina.
“Ia perlawanan yang kasar disebabkan cuaca selain semangat mereka yang membara untuk menang. Di sini [Bandaraya], saya lihat penyokongnya seperti di negara saya, ‘cepat panas’, mereka sukakan perlawanan sebegini. Inilah bola sepak yang memiliki aspek-aspek yang menakjubkan,” ungkapnya.
“Untuk pengetahuan anda, pemain-pemain saya bukan jenis yang suka ‘berbalah’, tetapi nampaknya aksi hari ini jadi sebegini. Pada saya, ia aksi yang menarik kerana penyokong juga menikmatinya,” tambahnya tentang aksi itu.
JDT membuka akaun jaringan pada minit ke-18 menerusi rembatan deras dan rendah oleh bek kiri, Corbin Ong pada minit ke-18 untuk meletak JDT satu gol di depan sehingga berakhir aksi babak pertama, malam tadi.
Perlawanan turut dihiasi dengan hujan lebat yang mula turun di babak kedua perlawanan. Namun, aksi di padang sentiasa panas dan sengit.
Selepas beberapa siri ketegangan yang sedikit sebanyak telah merencatkan tempo perlawanan yang rancak, JDT akhirnya memperolehi jaringan kedua, lima minit sebelum aksi berakhir menerusi jaringan Fernando Forestieri.