Dari Padang Awam Ke SNBJ: 6 Kelab, 150 Pemain Amatur Bakal Realisasi Mimpi

Bagi sekurang-kurangnya 150 pemain amatur, 30 pegawai pasukan dan ribuan penyokong 6 kelab bola sepak komuniti dari seluruh Malaysia, hari ini adalah hari mimpi mereka menjadi kenyataan.

Bagi 150 pemain-pemain amatur ini, segala penat lelah bergegas ke padang selepas kerja akan terbayar tunai pada hari ini.

Segala wang ringgit yang dikumpul dari gaji/bonus untuk membeli kasut bola first grade akan dikira berbaloi. Bagi isteri pemain pula, segala amarah kepada suami yang degil mahu bermain bola sepak akan dilupakan.

Bagi 30 pegawai pasukan, segala sakit pening kepala ketika menguruskan pasukan akan segera sembuh.

Setiap wang ringgit yang dilaburkan kepada pasukan dan pemain akan dikira halal. Segala perkelahian dan perbalahan mulut dengan ahli pengurusan pasukan yang lain akan segera dilupakan.

Dan bagi ribuan penyokong-penyokong yang bakal datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam ini pula, stadium mungkin nampak kosong. Tetapi ia akan bingit dengan sorakan, pukulan dram dan paluan gendang mereka.

Jika sebelum ini mereka hanya ke SNBJ untuk menyokong pasukan negeri atau kebangsaan, kali ini mereka akan menyokong pasukan komuniti mereka.

Berbeza dengan menyokong pasukan negeri atau kebangsaan, kali ini mereka kenal sendiri dengan pemain yang mereka sokong. Ada di antara pemain-pemain tersebut merupakan rakan sekerja mereka. Rakan serumah. Jiran. Kawan sekolah. Selalu jumpa di surau. Selalu lepak di kedai makan.

Roh SNBJ beri impak

Di SNBJ, segala-galanya bertaraf antarabangsa. Bermula dengan padang.

Jika sebelum ini Kelab Bolasepak Kupang bergelumang aksi di Padang Awam Kupang – di sebuah pekan kecil di daerah Baling, Kedah – kali ini mereka akan bermain di padang bertaraf antarabangsa.

Ia umpama The Beatles yang pada mulanya bermain di kelab-kelab malam kecil di Hamburg sebelum membuat persembahan di Royal Albert Hall, London.

Jika sebelum ini pemain-pemain Majidee83 FC bertukar dari baju kerja ke jersi dan seluar pendek di tepi padang atau dalam kereta, kali ini mereka bakal melakukannya di bilik persalinan yang baru dinaik taraf.

Jika sebelum ini aksi pemain FC Pemanis dan Shah Alam Antlers hanya diabadikan dalam FB Live atau rakaman kamera telefon, kali ini aksi mereka bakal dipertontonkan secara langsung di seluruh negara. Segala gerak-geri mereka di atas padang akan diulas oleh pengulas profesional.

Siapa tahu, mungkin ada jurulatih Piala FAM atau Liga Perdana yang melihat aksi mereka dan berminat untuk menjemput pemain yang memikat hati mereka untuk menyertai trial?

Jika sebelum ini pemain BNMFC dan Subang City hanya mempunyai media sosial untuk melihat nama mereka dipapar sebagai pemain bola sepak, kali ini nama dan gambar mereka akan terpampang di papan scoreboard LED di SNBJ.

Berapa ramai pemain amatur yang boleh memberitahu nama dan gambarnya terpampang di papan scoreboard LED di SNBJ?

Bola sepak amatur perlu digalakkan

Mana-mana negara yang mengamalkan budaya bola sepak, pasti mempunyai liga peringkat amatur. Ia berfungsi sebagai platform – bagi pemain, pengadil, jurulatih dan pegawai pasukan untuk memperkembangkan skill mereka dari peringkat bawahan.

Bagi pemain, liga amatur menyediakan platform buat mereka yang tercicir dari akademi untuk mendapatkan minit perlawanan dan meneruskan perkembangan bakatnya.

Bagi pengadil dan jurulatih, liga amatur sepatutnya menjadi platform buat pengadil-pengadil muda yang baru berlesen untuk mendapatkan pengalaman dan mempraktiskan apa yang dipelajarinya dalam kelas.

Bagi pegawai pasukan, liga amatur adalah platform sempurna untuk belajar sambil bekerja dalam industri bola sepak.

Jadi apabila YB Khairy Jamaluddin memberi peluang dan penghargaan kepada 6 kelab amatur – Kelab Bolasepak Kupang, Majidee83 FC, FC Pemanis, Shah Alam Antlers, BNMFC dan Subang City – untuk bermain di SNBJ, ia bakal membuka lembaran baru kepada arena bola sepak amatur di Malaysia.

Diharapkan selepas ini, lebih ramai peminat bola sepak tempatan, penaja, orang-orang kaya, wanita, OKU dan usahawan yang bakal melibatkan diri dalam arena bola sepak amatur di Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN