Sukan Asia: Berbanding 4 Edisi, Skuad 2018 Catat Prestasi Terbaik

Sukan Asia

Terhenti sudah langkah skuad B-23 negara dalam saingan Sukan Asia 2018 apabila ditundukkan Jepun di saat-saat akhir dengan keputusan 0-1, berpunca dari gol sepakan penalti.

Walaupun begitu, pencapaian melangkah ke pusingan 16 terbaik adalah sesuatu yang boleh dibanggakan jika dilihatkan saingan yang dihadapi sejak dari peringkat kumpulan.

Jika kita bandingkan rekod 16 tahun pencapaian skuad bola sepak negara di Sukan Asia, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bolehlah kita kategorikan sebagai yang terbaik.

Perbandingan ini dibuat bermula edisi 2002 di mana acara bola sepak di Sukan Asia mula mengikut syarat Sukan Olimpik dengan mengehadkan penyertaan kepada skuad B-23.

Kita juga sedia maklum, pasukan bola sepak kita tidaklah gah di peringkat Asia dengan kini menghuni kedudukan ke-36 daripada 46 pasukan yang masih aktif dalam tempoh 4 tahun terkini.

Dua kali berada di pusingan 16 terbaik

Malaysia sudah dua kali beraksi di pusingan 16 terbaik sejak 2002. Selain edisi 2018, Malaysia juga pernah layak ke peringkat yang sama pada edisi 2010 yang berlangsung di China.

Namun, pencapaian di edisi kali ini lebih indah atas dua faktor iaitu Malaysia layak selaku juara kumpulan dan juga lebih manis adalah kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Korea Selatan.

Sukan Asia

Kemenangan yang diraih selepas hampir 44 tahun! 20 pemain ini dan yang terlibat dalam perlawanan tersebut harus berbangga.

Berbanding edisi 2010, Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik atas faktor pasukan kedudukan ketiga terbaik. Malaysia adalah 4 pasukan kedudukan ketiga terbaik peringkat kumpulan.

Harimau Malaya hanya menang sekali dalam edisi tersebut dan tumbang kepada Jepun, China seterusnya kepada Iran di pusingan 16 terbaik. Ia bukanlah suatu keputusan yang baik.

Menang 2 perlawanan, jaringan meningkat, bolos kurang

Jumlah jaringan yang dihasilkan juga meningkat berbanding 4 edisi sebelum ini. 7 gol yang terhasil dengan ratio 1.75 adalah tinggi buat skuad muda negara dalam Sukan Asia.

Disamping itu, ratio bolos per perlawanan juga paling rendah direkodkan iaitu 1.5 sejak edisi 2002. Ini menunjukkan perkembangan positif blok pertahanan skuad muda negara.

Skuad muda negara juga merekodkan 2 kemenangan iaitu yang terbaik berbanding 4 edisi. Edisi terburuk pastinya pada 2006 dimana Malaysia tumpas dalam ketiga-tiga perlawanan.

Malaysia hanya mampu menang sekali dalam tiga edisi lain sebelum ini iaitu pada edisi 2014, 2010 dan 2002. Itupun kemenangan atas pasukan biasa-biasa.

Sukan Asia
FOTO: Asiana.my

Berikut adalah ratio jaringan berbanding bolos skuad B-23 negara dalam 4 edisi sebelum ini:

  • 2014: 1.33 / 2
  • 2010: 0.75 / 2.25
  • 2006: 0.66 / 3.33
  • 2002: 1 / 2

Penangan Safawi Rasid 

Peningkatan jumlah jaringan disumbang oleh aksi cemerlang jentera serangan anak buah Kim Swee yang digerakkan oleh trio Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.

Safawi menyumbang 4 gol peribadi dan ini adalah yang tertinggi sejak edisi 2002. Pencabar terdekatnya adalah penyerang sensasi Perak dan negara satu masa dahulu, Khalid Jamlus.

Khalid Jamlus telah menyumbang 3 gol peribadi pada edisi 2002 di Korea Selatan dan juga 3 gol itulah jumlah gol yang telah dihasilkan skuad muda negara sepanjang edisi tersebut.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah menyatakan Safawi adalah jelmaan Amri Yahyah namun bagi penulis, Safawi adalah ‘baka’ baharu penyerang negara.

Sukan Asia

Selepas sensasi yang dicipta Safee Sali ketika Kejohanan AFF 2010, penulis dapat merasakan perasaan itu kembali. Inilah penyerang yang dicari-cari skuad negara setelah sekian lama.

Jadi, tahniah buat jurulatih yang mengetengahkan bakatnya, Rahmad Darmawan, T-Team dan juga kelab terkininya, Johor Darul Ta’zim kerana telah mengasah kemampuannya.

Kim Swee menyerlahkan kemampuannya

Tidak dapat dinafikan, ketua jurulatih juga memainkan peranan atas setiap keputusan yang berlaku di atas padang. Dan di sini, kredit juga buat Kim Swee atas kecemerlangannya.

Kim Swee sinonim dengan ‘sentuhan emas’ bersama skuad muda negara dan pernah membawa skuadnya memenangi Sukan SEA 2011 di Indonesia, menewaskan tuan rumah di pentas final.

Ini merupakan edisi kedua buatnya di Sukan Asia selepas 2014 dan kita boleh lihat perkembangan positif ke atas dirinya dan juga skuad muda negara dalam dua edisi tersebut.

Kim Swee telah merubah struktur formasi pasukan kepada 3-4-3 sejurus pulang berguru di kelab Queens Park Rangers. Menurutnya, hasil pemerhatiannya, formasi ini lebih fleksibel.

FOTO: Getty Images

Edisi kali ini memperlihatkan yang mereka boleh bermain baik dengan sistem dan formasi yang baharu. Pemain tampak selesa dan berjaya menampilkan sisi permainan yang lebih stabil.

Buktinya, ratio gol dan bolos untuk kedua-dua edisi tersebut telah menyaksikan perubahan positif. Malaysia jelas sudah bangkit.

Bagaimana perbandingan dengan edisi 1994?

Malaysia tidak menyertai acara bola sepak dalam Sukan Asia 1998  iaitu kira-kira 20 tahun lalu. Jadi, perbandingan ini akan dibuat berdasarkan kepada pencapaian edisi 1994.

Tidak termasuk Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali, 20 pemain daripada skuad ini belum dilahirkan lagi pada edisi 1994 dengan hanya 5 orang dilahirkan setahun selepas itu.

Jika melihatkan senarai pemain ketika itu, tampak yang skuad Malaysia ada harapan untuk memberi saingan namun, mereka hanya menang sekali, iaitu dalam perlawanan pertama.

Antara pemain yang beraksi termasuklah ketua jurulatih skuad B-23 ketika ini bersama-sama Khairul Azman Mohamed, Dollah Salleh, K. Sanbagamaran, Azman Adnan dan Azizol Abu Haniffah.

FOTO: AFFSUZUKICUP.COM

Malaysia merekodkan ratio bolos per perlawanan yang tinggi iaitu 2.75 dan turut dibelasah Uzbekistan dengan keputusan 0-5. Ratio jaringan pula adalah 1.5 daripada 4 perlawanan.

Jadi, skuad edisi kali ini tetap adalah yang terbaik berbanding skuad yang pernah dibintangi oleh ketua jurulatih mereka itu pada edisi yang berlangsung di Hiroshima, Jepun.

Penutup

Biarpun terkandas, skuad ini wajar diberikan kredit kerana walaupun terdapat kekangan umpamanya kehilangan tonggak penting, mereka tetap melepasi peringkat kumpulan.

Skuad B-23 untuk edisi 2018 ini tampil meyakinkan biarpun diundi di dalam kumpulan yang agak sukar kerana terdapat dua pasukan kuat iaitu juara edisi lalu, Korea Selatan dan Bahrain.

Kemenangan mengejut ke atas Korea Selatan adalah laungan awal mereka yang mereka mampu bersaing dengan pasukan yang lebih gah dari segi ranking dan kemampuan pemain.

Jangan dibiarkan prestasi dan pencapaian baik ini berlalu begitu sahaja. Diharapkan akan ada kesinambungan dan juga pencapaian yang lebih baik pada edisi-edisi yang akan datang.

Tambahan pula, kita sedang menanti hasil tuaian dari Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN