Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun negara mencatat kemenangan tipis, 1-0 ke atas pasukan semi-pro, Honam University hasil jaringan daripada Kogileswaran pada minit ke 84 pada aksi persahabatan sebentar tadi.
Ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee dilihat menurunkan barisan pemain yang berbeza berbanding dengan ketika menentang pasukan divisyen 3 Liga Korea, Mokpo City.
Kali ini, Kim Swee menurunkan gandingan serangan Jafri Firdaus Chew, Hadi Fayyadh dan Kogileswaran. Manakala benteng pertahanan dikemudi oleh Adib Zainuddin sambil dibantu oleh Shivan Pillay Asokan dan Dominic Tan dengan formasi yang sama iaitu 3-4-3.
Kim Swee menegaskan keputusan perlawanan persahabatan tidak memberi sebarang kesan terhadap persediaan pasukannya.
Bagi Kim Swee, perkara yang paling utama adalah pemain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk dan memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum mengharungi Kejuaraan B-23 AFC di China, awal bulan depan.
“Walaupun bermain dengan pasukan biasa, yang penting bukan keputusan yang dicari kerana kita tahu pasukan ini mempunyai kualiti tersendiri dan ia memberi satu perlawanan persahabatan yang kita inginkan,” katanya.
Selepas berdepan Honam University, skuad Ong Kim Swee akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan di Korea Selatan iaitu menentang Jeonju Citizen pada 28 Disember ini.
Mereka juga akan cuba aturkan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan Korea Selatan B23.
Selepas itu, mereka akan memilih 23 pemain terbaik yang akan berangkat China untuk fasa latihan pusat terakhir sebelum menghadapi saingan sebenar.
Kim Swee menjelaskan fokus beliau untuk perlawanan persahabatan adalah untuk menguji barisan kesebelasan utama terkuat yang akan menggalas tugas di China nanti.
“Jadi, dalam perlawanan di Korea saya akan turunkan pemain barisan kesebelasan kemungkinan yang akan bermain antara 60 hingga 70 minit.
“Ia bagi membolehkan pemain mendapat tahap kecergasan terbaik selain memperbaiki kelemahan yang ada ketika bertemu PJ Rangers dan Melaka United,” katanya.
Sementara itu, penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menyifatkan kehadiran muka baharu mewujudkan persaingan sihat sekali gus dapat ‘memaksa’ dirinya untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan tempatnya dalam pasukan terjamin.
“Semua penyerang memiliki kelebihan masing-masing tambahan pula dengan kemasukan pemain skuad Bawah 19 tahun (B-19) seperti Hadi Fayyadh dan Akhyar Rashid sekali gus menjadikan persaingan merebut tempat menjadi lebih mencabar.
“Saya melihat situasi ini daripada sudut positif kerana ia membuatkan saya menjadi lebih bersemangat untuk memberikan persembahan yang lebih baik pada sesi latihan dan beberapa perlawanan persahabatan yang akan diharungi nanti,” katanya.
Selain Hadi dan Akhyar, anak kelahiran Dungun itu perlu bersaing dengan tiga lagi penyerang iaitu Jafri Firdaus Chew, N Thanabalan dan R Kogileswaran yang menyaksikan salah seorang daripada mereka berkemungkinan digugurkan sebelum ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China, bulan depan.
Dalam masa sama, Pemain Muda Harapan Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2016 (ABK2016) itu turut melihat saingan di pentas tertinggi benua Asia itu sebagai medan terbaik memperagakan prestasi terbaiknya.
“Kejuaraan B-23 AFC 2018 adalah satu pentas besar dan saya teruja apabila kami berjaya sampai sehingga ke tahap itu. Mungkin inilah peluang terbaik unuk menunjukkan bakat sebenar kepada penyokong bola sepak tempatan.
“Tiada sasaran peribadi yang diletakkan kerana bola sepak sukan yang memerlukan semangat berpasukan. Jadi, kita perlu sentiasa kekal dengan semangat berpasukan supaya dapat meraih kejayaan pada kejohanan itu nanti,” katanya.