Skuad Bayangan Malaysia Gabungan Senior & B-23, Siapa Pemain Pilihan Anda?

Sejak anak buah Datuk Ong Kim Swee menampilkan aksi cemerlang di Kejohanan Piala Asia B-23 sehingga mampu melayakkan diri ke peringkat suku akhir baru-baru ini, ramai di kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan mulai memperkatakan agar sebahagian daripada pemain skuad B-23 negara diserapkan ke skuad senior kebangsaan.

Perkara ini tidak mengejutkan, mengambil kira prestasi skuad kebangsaan yang jelas memerlukan nafas baharu, selepas kedudukan ranking FIFA  terkini negara ialah di kedudukan ke-175 dunia.

Pengenalan: Di sini bermulanya

Aksi cemerlang skuad B-23 negara sebenarnya bermula ketika di temasya Sukan SEA, Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu.

Cemerlang di peringkat kumpulan menundukkan pasukan seperti Brunei, Singapura, Myanmar dan Laos, skuad Harimau Malaya menewaskan Indonesia di separuh akhir, namun tewas di tangan Thailand di aksi final.

Bersandarkan skuad yang hampir sama, pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee jelas optimis akan barisan pemain-pemainnya mampu melakar kejutan di dalam penampilan sulung kejohanan Asia tersebut.

Rangkuman perjalanan di China

Tewas 4-1 kepada Iraq dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C mengundang kritikan dari tanah air.

Namun demikian, skuad muda negara bangkit memberi saingan di perlawanan kedua dengan mengikat Jordan 1-1, sebelum mencipta sejarah menjinakkan gergasi Asia, Arab Saudi 1-0 di perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Berbekalkan satu kemenangan dan satu keputusan seri, ianya sudah memadai dijadikan sandaran skuad negara untuk layak ke peringkat suku akhir kejohanan tersebut.

Menanti skuad muda negara di suku akhir ialah Korea Selatan, yang memiliki barisan pemain berpengalaman beraksi di Piala Dunia B-20 pada tahun lalu.

Ketinggalan seawal minit pertama perlawanan, skuad muda negara wajar dipuji kerana terus memberi saingan sengit kepada lawan sehingga mampu menjaringkan gol penyamaan melalui pemain gantian N. Thanabalan.

Malah pada satu masa, skuad muda negara kelihatan cemerlang mendominasi perlawanan dengan serangan bertali arus, serta menampilkan ketenangan di dalam membaca gerakan lawan ketika fasa bertahan.

Namun akhirnya anak buah Datuk Ong Kim Swee terpaksa tunduk dengan kehebatan Korea Selatan apabila jaringan Seung-Gyu Han, 5 minit sebelum wisel penamat menafikan kemaraan seterusnya buat skuad negara.

Reaksi positif

Walaupun gagal ke peringkat separuh akhir, pencapaian skuad muda negara sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir kejohanan tersebut merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Apatah lagi bola sepak negara sudah lama ketandusan kejayaan di peringkat tertinggi.

Skuad B-23 negara mungkin tidak memenangi kejohanan tersebut. Tetapi ia cukup untuk menunjukkan kepada kita bahawasanya bola sepak negara mempunyai masa hadapan, jika momentum prestasi semasa diteruskan di kejohanan dan perlawanan antarabangsa lain pada masa hadapan.

Bagaimanakah rupa atau bayangan skuad negara jika pemain-pemain B-23 negara diserapkan ke skuad utama negara?

Asas dan kriteria pemilihan

Kita semua tahu prestasi cemerlang skuad B-23 negara adalah berasaskan formasi 3-4-3 yang diterapkan oleh Datuk Ong Kim Swee.

Manakala Tan Cheng Hoe yang merupakan pengendali skuad kebangsaan, lebih sinonim dengan bola sepak moden berteraskan formasi 4-2-3-1.

Tan Cheng Hoe
Photo by Zulfachri Zulkifli / www.asiana.my,

Oleh itu, untuk membayangkan barisan skuad negara gabungan pemain senior dan skuad B-23 negara, kami menggunakan kedua-dua formasi. Sudah tentu ketika menghadapi perlawanan, ia masih terpulang dengan jurulatih untuk membuat keputusan.

Skuad yang kami bariskan ini hanyalah skuad bayangan pilihan kami.

Untuk mengekalkan keseimbangan, pemain pilihan daripada kedua-dua formasi adalah di kalangan 5 pemain skuad B-23, dan 6 lagi pemain daripada skuad utama negara sedia ada.

Datuk Ong Kim Swee. Foto: Berita Harian.

Ini bermakna pemain-pemain seperti Natxo Insa atau La’Vere Corbin-Ong dan beberapa pemain lain, belum lagi berada di dalam senarai ini, selagi mereka belum bersedia melakukan debut secara rasmi bersama skuad kebangsaan.

Harus diingat. Ini adalah skuad bayangan pilihan kami, dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pemilihan pemain oleh jurulatih secara realiti.

DOKS: Formasi 3-4-3 

Mari kita mulakan dengan skuad bayangan negara menggunakan formasi 3-4-3 yang diterapkan oleh Datuk Ong Kim Swee bersama skuad B-23 negara.

Di dalam kesebelasan utama ini, lima pemain skuad B-23 negara menjadi pilihan kami. Haziq Nadzli, Adam Nor Azlin, Matthew Davies, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid merupakan lima pemain skuad B-23 pilihan kami.

Formasi 3-4-3 Datuk Ong Kim Swee.

Haziq Nadzli menjadi pilihan di hadapan gawang bersandarkan prestasi beliau yang selesa beraksi dengan rangkaian tiga pertahanan di hadapan beliau.

Di bahagian pertahanan, Adam Nor Azlin adalah pemain muda berpotensi besar di dalam sistem bek bertiga. Manakala Aidil Zafuan merupakan ‘ball playing centre back’ yang dimiliki negara.

Aidil adalah seorang pemain pertahanan yang selesa dengan bola ketika berada di kaki, dan wajar berada di dalam senarai kesebelasan.

Untuk menambahkan pengalaman, kami turut memilih Khairul Helmi untuk melengkapkan bek bertiga skuad kebangsaan.

Namun demikian, selain daripada Aidil, Tan Cheng Hoe turut boleh menurunkan Junior Eldstal dan juga Ronny Harun di posisi tengah pertahanan sebagai ‘ball playing defender’ yang dominan.

Posisi Khairul Helmi turut boleh diisi seorang lagi pemain muda negara, Dominic Tan yang membuktikan diri memiliki ketenangan (composure) dan disiplin ketika menyerap asakan lawan.

Di bahagian tengah, Fazly Mazlan dan Matthew Davies merupakan antara 2 bek sayap terbaik negara pada hari ini. Posisi berkenaan turut boleh diisi oleh Syazwan Andik di sebelah kiri dan juga S. Kunanlan di sebelah kanan.

Untuk memberi keseimbangan dan pengalaman, gandingan 2 pemain senior, Safiq Rahim dan Baddrol Bakhtiar menjadi pilihan kami.

Foto: Asiana.my

Pada pendapat kami, Safiq lebih cemerlang sebagai  pemain ‘box to box’, kita turut boleh mengharapkan ketajaman hantaran ‘through ball’ untuk melakukan penetration pass kepada bahagian serangan suntuk disudahkan.

Manakala ketenangan yang dimiliki oleh Baddrol boleh digunakan sebagai pemain No.8, membantu melakukan pintasan ketika lawan melakukan serangan, sebelum membantu memulakan serangan dari bahagian tengah.

Tiga pemain serangan pilihan kami ialah Syazwan Zainon, Akhyar Rashid dan juga Safawi Rasid. Kelebihan utama ketiga-tiga pemain ini di hadapan ialah kepantasan larian yang dimiliki oleh setiap pemain.

Akhyar Rashid hampir meledak gol buat skuad negara ketika menentang Jordan. Foto: Asiana.my.

Safawi dan dan juga Syazwan turut boleh bertukar posisi antara satu sama lain ketika melakukan gerakan bagi mengelirukan lawan.

Jika digarap, ketiga-tiga pemain ini turut boleh digarap seperti barisan fabulous 3 Liverpool, dengan Akhyar bertindak sebagai No.9 jadian.

Sudah tentu jurulatih Tan Cheng Hoe turut boleh menggunakan pemain seperti N. Thanabalan atau pun Shahrel Fikri di hadapan bagi menggantikan Akhyar jika ianya memerlukan.

TCH: 4-2-3-1

Ketika mengendalikan Kedah, jurulatih Tan Cheng Hoe cenderung untuk menggunakan formasi 4-2-3-1 di dalam skuad kendaliannya.

Falsafah Taktikal Tan Cheng Hoe memang menarik. Beliau antara jurulatih tempatan yang terbukti dengan falsafah bola sepak moden.

Ketika revolusi taktikal bola sepak berpaksi kepada nama Guardiola, formasi moden 4-2-3-1 sangat menjadi pilihan ramai jurulatih.

Bagaimana Tan Cheng Hoe boleh mengaplikasikan gabungan pemain muda B-23 negara dan pemain senior ada? Ini bayangan yang kami bantu jelmakan.

Skuad negara formasi 4-2-3-1 Tan Cheng Hoe

Jika anda perhatikan, ada beberapa nama kami kekalkan untuk kedua-dua formasi.

Ini kerana kami berpendapat mereka adalah pilihan terbaik untuk berada di dalam skuad negara, bukan semata-mata kerana aksi di atas padang, tetapi untuk membentuk stabiliti dan keseimbangan wakil pasukan negeri yang mewakili skuad negara.

5 pemain skuad negara menjadi pilihan kami pada kali ini ialah Syazwan Andik, Azam Azih, Syamer Kutty, Safawi Rasid dan juga N. Thanabalan.

Izham Tarmizi merupakan penjaga gol pilihan kami berdasarkan konsistensi beliau di aksi domestik pada musim lalu. Namun ianya bukan masalah bagi jurulatih Tan Cheng Hoe untuk menurunkan Hafizul Hakim di posisi tersebut.

Sumber: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Pemilihan penjaga gol haruslah berdasarkan kepada prestasi semasa pemain, sama ada mereka berada di tahap terbaik atau tidak ketika bersama kelab masing-masing.

Di bahagian pertahanan, kami berpendapat Fadhli Shas wajar diberikan peluang selepas peningkatan prestasi di bawah tunjuk ajar Ulisses Morais pada musim lalu.

Nama Syazwan Andik turut disenaraikan agar skuad negara mempunyai pengganti atau alternatif lain di posisi bek kiri.

Walaupun Rizal Ghazali merupakan pilihan kami sebagai bek kanan, tidak ada masalah jika Tan Cheng Hoe mahu mengekalkan Matthew Davies, atau memberikan peranan kepada S. Kunanlan di posisi tersebut berdasarkan konsistensi pemain tersebut bersama JDT selama ini.

Kredit: Goal.com

Di bahagian tengah, Azam Azih dan juga Syamer kutty menjadi taruhan kami. Ini adalah kerana skuad negara tidak boleh bersandarkan kepada khidmat dari Safiq Rahim mahu pun Kiko Insa yang menjadi pilihan utama ketika era singkat Nelo Vingada.

Di bahagian rangkaian 3 pemain tengah menyerang, Syazwan Zainon, Safawi Rasid dan Baddrol Bakhtiar adalah pilihan buat masa ini. Kelebihan utama membariskan ketiga-tiga pemain ini serentak, ialah kerana kebolehan mereka untuk saling bertukar posisi sesama mereka secara kerap.

Formasi 4-2-3-1 ini adalah sistem yang menggunakan ‘target man’ . Berdasarkan prestasi semasa, kita harus akui bahawa N.Thanabalan merupakan pemain terbaik untuk menggalas peranan sebagai penyerang.

Ketika memegang bola (on ball), Thanabalan bukanlah pemain yang boleh melepasi pertahanan lawan dengan skil (take ons). Namun beliau sangat baik dalam ‘positioning’ di dalam kotak penalti.

N.Thanabalan. Kredit Foto: Asiana.my

Namun demikian, jurulatih Tan Cheng Hoe turut mempunyai pilihan pemain seperti Shahrel Fikri, Hazwan Bakri, mahu pun Safee Sali jika keadaan memerlukan.

Dengan pilihan yang ada, kami pasti tiada lagi cerita ketandusan penyerang sepertimana yang pernah dirungut oleh bekas jurulatih negara Nelo Vingada ketika berhadapan dengan Hong Kong dalam pusingan kelayakan Piala Asia pada tahun lalu akan timbul.

Rumusan

Ini adalah sekadar skuad bayangan yang kami kumpulkan. Namun demikian, pemilihan pemain masih lagi tertakluk kepada pilihan dan kuasa jurulatih. Pemilihan formasi juga adalah berasaskan kepada formasi pilihan jurulatih.

Apa pendapat anda? Anda mempunyai pilihan anda yang tersendiri mengenai kesebelasan utama skuad negara selepas ini? Nyatakan di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

Seperti anda, kami juga mengharapkan momentum kecemerlangan skuad muda negara di kejohanan Piala AFC B-23 negara, mampu diteruskan oleh skuad utama negara.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN