Skuad bawah 19 tahun negara mengalami kekalahan pertama dalam siri jelajah perlawanan persahabatan di Oman apabila mudah dibelasah 4-0 dalam aksi berdepan kelab Oman, Al Suwaiq di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, semalam.
Pengendali skuad itu, Bojan Hodak menyifatkan anak buahnya memperolehi pengalaman yang berguna berdepan pasukan dari negara Arab yang mempunyai susuk fizikal yang lebih besar dan pantas.
“Sememangnya keputusan ini tidak baik untuk pasukan. Tetapi ia pengalaman cukup berguna kepada pasukan kerana ini adalah perlawanan pertama kami berdepan pasukan dari negara Arab.
“Al Suwaiq adalah juara Piala Sultan Qaboos di liga Oman pada musim lalu. Mereka bermain dengan laju berbanding pasukan kita.
“Mereka tidak mempunyai banyak peluang namun setiap kali pasukan melakukan kesilapan mereka berjaya menghukum benteng kita,” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian.
Mereka kini berada di Oman sebagai persiapan untuk menghadapi saingan AFC B-19 di Indonesia bulan depan. Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama dua wakil dari negara Arab iaitu Arab Saudi dan Tajikistan, bersama China.
“Pasukan ini sedang meningkat naik dan ia pengajaran berguna kepada kami. Jika pemain mahu menjadi pemain profesional, mereka perlu meningkatkan lagi tahap permainan seiring dengan kemajuan bola sepak moden,” katanya.
Selepas ini, mereka bakal diuji dua lagi pasukan bertemu Oman Club pada Khamis ini dan Muscat Club tiga hari kemudian untuk melengkapkan tiga siri aksi persiapan di negara teluk itu.
“Ketiga-tiga perlawanan akan diadakan di Muscat. Mereka adalah pasukan mantap divisyen satu yang mampu menawarkan aksi sengit kepada anak buah saya.
“Mereka mempunyai permainan berbeza daripada kami. Mereka seperti pasukan Arab Saudi, kuat dan memiliki kemahiran tinggi.
“Bagus untuk anak buah saya untuk menimba pengalaman baru,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.
Hodak memerlukan tiga perancangan berbeza apabila bertemu China, Arab Saudi dan Tajikistan memandangkan ketiga-tiga pasukan berkenaan mempunyai corak permainan yang berlainan.
Justeru, jurulatih itu tidak menafikan ia satu cabaran buat dirinya, tambahan China dari rantau Asia Timur mempunyai kualiti teknikal yang baik manakala Arab Saudi memiliki kekuatan daripada segi fizikal.
“Pasukan saya seperti tidak memiliki pengalaman beraksi lawan dalam saingan AFC kali ini. Kami akan berdepan Arab Saudi dan Tajikistan yang memerlukan kekuatan fizikal,” kata Hodak.