Skuad bawah 23 (B-23) negara dilaporkan kini bakal mempersiapkan diri dengan lebih baik sebelum mereka menghadapi aksi Piala Asia B-23 pada tahun hadapan dengan beberapa perancangan sedang diatur.
Ketika ini, pastinya skuad kendalian E. Elavarasan perlu menyedari banyak perkara perlu diperbaiki terutama aspek corak permainan mereka masih lagi longgar sebelum menghadapi kejohanan tersebut.
Tahniah Malaysia! 🇲🇾
Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian E. Elavarasan layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, 15 April-3 Mei 2024 selepas berjaya mengisi salah satu daripada empat slot pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dalam saingan kelayakan!#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/48qol8IBzM
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 13, 2023
Apa tidaknya, sejak beberapa saingan dihadapi skuad muda negara ini mereka masih belum mempamerkan konsistensi diperlukan selain gagal untuk memenuhi sasaran dalam setiap kejohanan disertai seperti Piala AFF lalu.
Malah, kehadiran beberapa pemain bintang seperti Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad, Luqman Hakim Shamsudin, serta beberapa lagi tonggak bersama skuad B-23 juga tidak mengubah banyak corak permainan pasukan tersebut pada aksi kelayakan Piala Asia lalu.
Kritikan demi kritikan dilemparkan oleh penyokong bola sepak negara di media sosial kini juga turut mengharapkan ada perubahan segera dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya segalanya dapat diubah sebelum saingan sebenar berlangsung tahun hadapan.
Malah, pasukan muda negara juga dilaporkan selepas ini bakal mendapatkan beberapa pasukan kuat untuk diuji pada aksi persahabatan bagi memberi lebih pendedahan sebenar kepada para pemain.
Dalam tempoh lebih kurang enam bulan sebelum aksi Piala Asia bermula, pengurus skuad B-23 iaitu Datuk Seri Shahril Mokhtar menyatakan persediaan rapi perlu diadakan lebih awal termasuk memanggil para pemain untuk menyertai kem latihan pusat.
Ketika ini, pihak beliau dilaporkan sedang mengatur perancangan rapi termasuk mengadakan aksi persahabatan bersama negara lebih kuat berdasarkan kepada undian Piala Asia bakal diadakan nanti.
“Saya kalau boleh tidak mahu lagi mengadakan perlawanan persahabatan membabitkan pasukan dalam negara saja kerana ia dilihat kurang memberi impak dalam membentu skuad lebih mantap.
“Mungkin kita merangka perlawanan bertemu pasukan gergasi Asia atau beberapa siri perlawanan di luar negara seperti dilakukan pasukan Harimau Malaya.
“Paling penting adalah kita akan mengadakan perbincangan dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan kelab Liga Super supaya dapat memberi pelepasan kepada pemain muda untuk beraksi mewakili negara,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Carta Kedudukan Akhir Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-23 2024
* Selepas Hari Perlawanan 3 pada Selasa, 12 September 2023
▶️ Thailand & Malaysia layak ke Piala Asia B-23 2024#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/r6DdHgDRHl
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 13, 2023
Pada masa sama, Shahril turut menyatakan tentang persiapan awal perlu dibuat sebaik mungkin oleh pihak kejurulatihan untuk memperbaiki segala kelemahan kerana tempoh enam bulan dianggap sangat singkat.
“Tempoh enam bulan ini semua pihak perlu bekerja keras untuk menangani setiap masalah dan kelemahan pasukan kerana tidak mahu sekadar menyertai Piala Asia B-23 untuk menimba pengalaman namun turut mahu mencipta keputusan positif,” katanya lagi.