Skuad B-14 AMD Uji Kekuatan Bersama Pasukan B-16 PLD Kuala Selangor

Pasukan Bawah 14 Tahun (B) Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan membawa nama negara dalam kejohanan Piala CP Meiji yang akan berlangsung di Buriram, Thailand pada 19 hingga 23 Oktober ini.

Kredit Foto: Facebook CP Meiji Cup

Oleh yang demikian, sebagai persiapan sebelum kejohanan tersebut, pihak AMD telah mengatur perlawanan persahabatan menentang pasukan Bawah 16 Tahun Pusat Latihan Daerah (PLD) Kuala Selangor di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada petang Ahad.

Lawan mereka ini bukanlah calang-calang pasukan. PLD Kuala Selangor yang tapaknya di SMK Dato’ Harun, Tanjong Karang baru-baru ini mendapat tempat ketiga dalam sebuah kejohanan jemputan 29 negara di Inner Monggolia, China.

Skuad B-14 AMD yang digelar The Panthers itu memulakan perlawanan dengan formasi 4-4-2 ‘diamond’. Ketua Jurulatihnya, Shahril Faizal memaklumkan mereka memilih formasi itu kerana mahu membentuk persefahaman dua penyerang tulen dalam pasukan mereka.

Pasukan B-16 PLD Kuala Selangor yang dibimbing Mohd Zaki Kahar selaku ketua jurulatih dan dibantu penolongnya, Zulfadli Ali pula memilih formasi 4-2-3-1 dengan meletakkan dua pemain tengah bertahan dan tiga pemain tengah menyerang serta seorang penyerang tunggal.

Seawal minit ke-4, AMD terlebih dahulu menguji benteng pasukan lawan menerusi penyerang lincah berasal dari Sabah, Alkausal Jarah yang melakukan percubaan kaki kiri. Namun rembatannya tersasar melencong ke sebelah kanan gawang PLD Kuala Selangor.

Dua minit kemudian, Penyerang PLD Kuala Selangor, Mohd Firdaus Amir Nordin meletakkan pasukannya mendahului hasil serangan balas dari sebelah kanan. Penyerang itu yang membuat larian ke bahagian kiri kotak penalti lawan berjaya merembat kencang ke sudut kiri gawang AMD.

Pada mint ke-9, PLD Kuala Selangor berpeluang menggandakan kedudukan. Namun pemain sayap mereka, Akmal Rizal Asam gagal memanfaatkan peluang melalui situasi satu lawan satu selepas percubaannya diselamatkan penjaga gol AMD.

Seminit kemudian sekali lagi penjaga gol AMD menjadi penyelamat selepas menangkap kemas tandukan tepat pemain PLD Kuala selangor ke arah gol hasil dari sepakan penjuru.

AMD yang kelihatan ‘lambat panas’ dihukum lagi dengan jaringan kedua PLD Kuala Selangor menerusi Mohd Afiq Anuar pada minit ke-22 disebabkan kesilapan penjaga gol mereka yang menepis bola ke gawang sendiri.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, AMD mula memperkemaskan corak permainan pasukan mereka terutama dalam membina serangan dari bawah dengan hantaran-hantaran pendek diterujui pertahanan tengah Aiman Hakimi Othman. Pemain bek kiri dan kanan juga bijak memainkan peranan dengan banyak membuka ruang.

Hasilnya pada minit ke-27, mereka mendapat sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan PLD Kuala Selangor. Pemain nombor 10, Marveend Shah cemerlang menterjemahkan peluang itu dengan gol pertama AMD bagi merapatkan kedudukan.

Marveend Shah berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-22. Namun tandukannya meliar di atas palang gol lawan dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, pasukan PLD Kuala Selangor menukar taktikal dengan menggunakan formasi 4-3-2-1 untuk membentuk bahagian tengah yang lebih kompak bagi mengekang serangan AMD.

Seperti dijangka corak permainan The Panthers jauh lebih baik pada separuh masa kedua. Pemain nombor 7, Muhammad Nur Haikal Abd Rahim yang gagal beraksi dengan baik di bahagian tengah pada separuh masa pertama dilihat lebih selesa apabila ditukar ke posisi sayap kiri.

Minit ke-71, Marveend Shah sekali lagi menggunakan kelebihan fizikalnya untuk mendapatkan gol penyamaan. Selepas menerima hantaran dari sebelah kiri, penyerang itu membuat tandukan padu namun tersasar hanya beberapa inci sahaja dari bucu kiri palang gol lawan mereka.

Kedua-dua pasukan terus berbalas serangan dengan PLD Kuala Selangor fokus kepada serangan balas pantas dan hampir menambah jaringan pada minit ke-78 menerusi Syed Raziq Wafa. Namun percubaan bek kiri tersebut jauh tersasar ke sebelah kiri gawang AMD.

Tiada sebarang tambahan jaringan pada separuh masa kedua sehinggalah pengadil meniup wisel penamat.

Masalah utama buat skuad Panthers adalah selepas bola mula melepasi bahagian tengah. Pemain mereka mudah kehilangan pengusaan bola disebabkan hantaran-hantaran kurang kemas yang mudah dipintas oleh pemain PLD Kuala Selangor yang ternyata berkelebihan dari segi fizikal.

Berbeza dengan pasukan PLD Kuala Selangor, mereka dilihat lebih yakin dan selesa untuk mengawal bahagian tengah dengan teknik hantaran-hantaran pendek yang baik dan kemas.

Hantaran-hantaran jauh pemain AMD dari bawah juga kebanyakannya berakhir dengan sia-sia kerana tidak tepat ke sasaran. Namun pujian buat pemain bek kanan mereka, Amir Farhan Mohd Fuzi yang menampilkan permainan yang matang dengan gerakan serta hantaran-hantaran yang cantik.

Pertahanan juga perlu lebih berhati-hati untuk bermain tinggi kerana dilihat sering gagal membuat perangkap ofsaid yang berkesan. Penyerang PLD Kuala Selangor beberapa kali dapat mengatasi pertahanan AMD hasil hantaran ‘through ball’.

Ketua Jurulatih skuad B-14 tahun AMD, Shahril Faizal yang ditemui oleh pihak SemunyaBOLA selepas perlawanan sempat memberikan komennya mengenai dua perlawanan persahabatan yang dihadapi pasukan mereka.

“Perlawanan hari ini adalah persiapan yang bagus untuk anak buah saya yang akan bermain di Buriram,Thailand beberapa hari lagi. Banyak kelemahan yang kami dapat kenal pasti dan diharapkan kami dapat memperbaikinya dalam tempoh beberapa hari ini.

“Mungkin pemain-pemain saya agak gugup pada separuh masa pertama, mereka banyak terlepas atau kehilangan bola dan sebagainya. Tetapi pada separuh masa kedua selepas tahap keyakinan mereka semakin meningkat, mereka sudah mula bermain dengan lebih baik.

Ditanya mengenai pasukan lawan yang berkelebihan dari segi umur, jurulatih berkenaan menjelaskan ianya amat baik untuk memberi pengalaman kepada pemainnya terutama dalam berhadapan lawan yang berkelebihan dari segi fizikal.

“Bagus, dua perlawanan di sini, saya mendapat dua perlawanan yang baik dan berkualiti berhadapan dengan mereka yang lebih dari segi umur iaitu pasukan bawah 16 tahun dari Sekolah Sukan Negeri (SSN) Selangor dan pasukan bawah 16 tahun PLD Kuala Selangor.

“Saya harap mereka akan teruskan latihan kerana pasukan-pasukan di peringkat akar umbi seperti ini sangat penting dan bagus untuk ‘sparring’ dengan pasukan di AMD.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PLD Kuala Selangor, Mohd Zaki Kahar mengucapkan terima kasih kepada pihak AMD kerana menjemput pasukan mereka untuk perlawanan persahabatan.

“Bagi saya, ianya satu peluang yang terbuka dan sangat baik. Apa yang saya nampak, di sini bukan mereka yang mendapat ilmu, tetapi sebaliknya kami yang berada di peringkat akar umbi ini.

“Kami dapat memahami sistem bola sepak yang sepatutnya negara kita ada. Ia perlu diterap kepada semua pemain-pemain NFDP yang berada di PLD-PLD seluruh Malaysia. Kami berharap peluang-peluang seperti ini dapat diteruskan.

“Bagi saya, Malaysia perlu ada satu perubahan dari segi pembangunan bola sepak dan kita sudah ada tapaknya di AMD. Jadi saya harapkan semua masyarakat di luar sana dapat terus memberi sokongan bukan sahaja di PLD, tetapi juga di SSN dan PLD supaya kami dapat terus membekalkan pemain-pemain yang berkualiti di negara kita.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN