Arsenal mengekalkan rekod tanpa bolos dalam tiga aksi Premier League di saat David Luiz menerima pelbagai kecaman selepas aksi buruknya ketika berdepan Man City.
Menariknya, selepas menentang Man City, Arsenal melalui lima aksi, empat aksi itu di Premier League dan satu perlawanan Piala FA – menyaksikan The Gunners hanya dibolosi dua gol sahaja. Adakah Mikel Arteta telah mengubah sesuatu?
David Luiz sudah insaf?
Pertahanan tengah, David Luiz telah tampil dalam tiga aksi terkini selepas melalui penggantungan dua perlawanan, bermula dengan aksi Piala FA berdepan Sheffield United. Arsenal bolos hanya satu gol – iaitu ketika menewaskan Sheffield United.
Berdepan kecaman, mungkin ramai yang menganggap pemain asal Brazil ini bakal tersisih namun, sebagaimana yang Arteta jelaskan sebelum ini, Luiz adalah pemain penting buat pasukannya. Disebabkan itu, beliau diberikan lanjutan kontrak.
Malah, bercakap kepada Sky Sport, Arteta menyatakan betapa pentingnya Luiz, “Anda boleh bertanya kepada mana-mana pemain di dalam pasukan, bagaimana dia dengan rakan-rakan sepasukan dan apa yang telah diberikannya untuk pasukan.”
Mungkin agenda lanjutan kontrak untuk ‘memikat’ Thiago Silva hanyalah khabar angin, namun Luiz sudah ‘kembali berpijak di padang bola sepak’ selepas kehilangan rentak disebabkan ketidaktentuan mengenai masa depannya bersama Arsenal.
Apa yang telah berubah
Dalam tiga aksi terkini, Arteta dilihat telah tampil meletakkan tiga pertahanan tengah menggunakan formasi 3-4-3, dengan dua pemain di bahagian sayap akan membantu pertahanan ketika bertahan dan jentera serangan ketika dalam fasa menyerang.
Dan dalam ketiga-tiga aksi ini, David Luiz memainkan peranannya selaku benteng tengah. Selainnya, Shkodran Mustafi juga adalah muka tetap gandingannya bersama, sama ada Sead Kolasinac, Rob Holding ataupun Kieran Tierney.
Itu merupakan perubahan yang jelas kelihatan dan kemenangan berdepan Wolves yang dalam prestasi baik – tiga kemenangan berturut-turut dan empat aksi tanpa bolos, memang tidak langsung dijangka oleh sesiapa, tanpa dibolosi pula.
Sebenarnya, mungkin Arteta sudah menyedari yang Luiz lebih berkesan jika bermain dengan bergandingan bersama dua benteng tengah. Beliau akan lebih bebas.
Gaya permainan David Luiz
Kebebasan yang bagaimana yang David Luiz mahukan? Kebebasan untuk bergerak dan membuat hantaran-hantaran tepat terus ke jentera serangan yang gagal diberikan oleh pemain tengah lain seperti Granit Xhaka, Matteo Guendouzi dan Lucas Torreria.
Apa yang ditawarkan olehnya jauh lebih baik dan sebagaimana lagenda Arsenal, Ray Parlour berkata sebelum ini, Luiz seharusnya bermain di posisi tengah bertahan. Ianya lebih memberi kesan dengan dua pertahanan tengah beroperasi di belakangnya.
Kebolehannya menggunakan kedua-dua belah kaki membantunya mengekalkan penguasaan bola sebelum menukar transisi pasukan. Namun, apabila beliau mula meninggalkan kawasan untuk naik sedikit, posisinya akan terdedah kepada lawan.
Jika bermain dengan dua pertahanan tengah, beliau perlu mengunci penyerang lawan dan itulah kelemahannya. Luiz perlu dibebaskan untuk mendapatkan yang terbaik daripadanya, seperti yang Chelsea lakukan ketika menggunakan sistem yang sama.
3-4-3 untuk selamanya
Beliau gemar untuk mengikut rapat pergerakan pemain lawan dan menyebabkan posisinya lebih terdedah. Itulah kepentingan memiliki dua lagi pertahanan tengah bersamanya bagi membantu untuk merampas semula penguasaan bola.
Dengan keberkesanan dua pemain sayap dimiliki Arsenal, pertukaran transisi apabila bola di kaki David Luiz atau mana-mana pemain tengah, akan berlaku pantas. Buktinya, kemenangan ke atas Norwich menyaksikan pemain sayap telah mencuri perhatian.
Dalam perlawanan itu, larian Tierney yang sebelum ini bermain di benteng bertiga dan Hector Bellerin susah untuk dijangka. Arteta sedang mengubah sistem 3-4-3 mengikut kesesuaian pemainnya dengan perubahan kecil memberi kesan yang besar.
Adakah sistem permainan 3-4-3 ini membantu Arsenal dalam aksi cemerlang 10 hari sebelum ini? Ya, ianya membantu mengeluarkan yang terbaik daripada pemainnya. Luiz turut dilihat menjadi pemain yang berkesan di dalam sistem tersebut.
Penutup
Jadi, sejauh mana Arteta akan mempertaruhkan sistem yang telah memberikan The Gunners sembilan mata berturut-turut ini? Mereka dalam pemburuan slot ke kejohanan Eropah dan pastinya mereka mahu mengekalkan apa yang terbaik dalam pasukan.
Apa kata penyokong Arsenal? Adakah pasukan di kedudukan ketiga, Leicester City akan menjadi mangsa seterusnya? Kemenangan ke atas Wolves, pasukan berada di atas Arsenal, merupakan yang pertama sejak 2015 yang berjaya dilakukan mereka.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES