‘Sime Darby Kembali’ – Bukan Bentuk Pasukan, Tapi Taja Liga-M Menerusi Produk Minyak Masak

Minyak masak ALIF secara rasminya telah diumumkan sebagai penaja utama saingan Liga Malaysia dengan hal itu telah disahkan sendiri oleh MFL pada hari ini.

Perjanjian tajaan bersama antara MFL dengan Sime Darby Oils (SDO) untuk tahun 2022 ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan SDO, Mohd Haris Mohd Arshad.

MFL dan Sime Darby sendiri walau bagaimanapun tidak mendedahkan kepada media tentang berapa jumlah tajaan dalam perjanjian tersebut.

Presiden MFL, Dato Ab Ghani Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam turut hadir untuk merasmikan penajaan Minyak Masak ALIF sebagai penaja rasmi Liga Malaysia.

SDO ketika sidang media hari ini turut memperkenalkan produk terbaharu ‘Minyak Masak ALIF Diperkaya dengan Vitamin D3’, selaras dengan komitmen syarikat tersebut untuk menawarkan produk berkualiti kepada para pengguna Malaysia.

Mohd Haris Mohd Arshad berkata, sokongan jenama minyak masak itu terhadap sukan terbesar Negara adalah wajar supaya kebaikan ALIF, minyak masak yang dihasilkan secara mampan pertama di Malaysia, dapat dikongsi dengan lebih ramai pengguna.

“Jenama ALIF mewakili pelbagai ciri terbaik minyak sawit Malaysia yang dihasilkan secara mampan. Kami percaya, lebih ramai peminat bola sepak tempatan akan dapat menghargai kualiti produk minyak masak ALIF, bukan sekadar para peminat wanita yang merupakan segmen pengguna utama kami.”

“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Liga Bola Sepak Malaysia dan menemui penonton bola sepak Malaysia daripada pelbagai golongan,” katanya. Liga Malaysia dianggarkan mempunyai 21 juta para peminat di seluruh Negara (40% daripadanya adalah wanita), 350 perlawanan dalam satu musim, lebih 1.6 juta penonton di stadium, dan lebih 7.5 juta pengikut di media digital.”

“Untuk para peminat bola sepak, SDO telahpun merancang pelbagai program dan aktiviti bercorak gaya hidup yang akan dilaksanakan di stadium dan juga pusat membeli-belah terpilih dengan kerjasama rakan-rakan niaga. Ini termasuklah aktiviti-aktiviti bersama personaliti bola sepak terkenal dan para peminat mereka di setiap negeri di seluruh Negara.”

“Musim bola sepak pada kali ini bakal beraksi dengan lebih meriah, terutamanya selepas terpaksa ‘berehat’ seketika ekoran pandemik COVID-19. Kami berhasrat untuk menghangatkan lagi suasana kemeriahan acara sukan ini dengan pelbagai aktiviti yang akan mendekatkan lagi ALIF dan bintang bola sepak Malaysia dengan para peminat bola sepak tanahair,”

Tambah Mohd Haris.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mr. Stuart Ramalingam turut menyatakan yang penyertaan ALIF sebagai minyak masak rasmi adalah suatu yang mengujakan bagi arena bola sepak tempatan, kerana ia membawa mesej yang positif bahawa liga bola sepak tempatan mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Bagi pihak Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, Lembaga Pengarah dan komuniti bola sepak, kami berbangga mengalu-alukan kehadiran ALIF, salah satu jenama minyak masak tempatan terbesar, ke dalam keluarga Liga Malaysia 2022.”

“Kerjasama ALIF dan MFL menandakan satu lagi penyertaan baharu jenama tempatan terkemuka yang menghargai dan menyokong industri bola sepak tempatan sebagai platform yang boleh meningkatkan kesedaran jenama. Setelah kita bersama-sama mengharungi wabak COVID-19, kami berterima kasih kepada SDO atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. MFL akan melakukan yang terbaik untuk menghidupkan pengalaman bola sepak yang hebat bersama Minyak Masak ALIF.”

Mohd Haris turut mendedahkan yang ‘Minyak Masak ALIF Diperkaya dengan Vitamin D3’ diperkenalkan pada masa yang tepat kerana lebih ramai pengguna pada masa kini amat mementingkan penjagaan kesihatan untuk melindungi diri mereka daripada wabak COVID-19.

Produk minyak masak terbaharu ini diperkaya dengan vitamin D3 yang membantu meningkatkan sistem imuniti. ‘Minyak Masak ALIF Diperkaya dengan Vitamin D3’ boleh didapati di semua pasaraya terkemuka tempatan mulai Mei 2022 dan dijual dalam pek botol 5kg, 3kg, 2kg dan 1kg.

Sime Darby pernah meriahkan Liga Malaysia

Sime Darby sendiri sebelum ini pernah memeriahkan Liga Malaysia dengan mereka turut mempunyai kelab sendiri yang bersaing di pentas bola sepak tertinggi negara.

Antara pencapaian terbaik Sime Darby FC adalah kejayaan mereka layak ke perlawanan akhir saingan Piala FA pada tahun 2012 yang lalu.

Walaupun Sime Darby hanya mampu menjadi Naib Juara sahaja pada ketika itu selepas tewas kepada kelantan, namun harus diakui yang mereka pernah memeriahkan arena bola sepak negara.

Mereka kini kembali memeriahkan Liga Malaysia namun bukan dengan menghantar wakil, tetapi sebagai penaja bersama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN