Sidang Editorial SB: Terima Kasih Wan Kuzain, Dan Selamat Maju Jaya

Wan Kuzain

Selamat malam pembaca SemuanyaBOLA. Seperti biasa, pada malam Isnin kami akan membentangkan sidang editorial SB yang menyatakan pendirian kami secara kolektif tentang sesuatu isu.

Dalam seminggu ini, selain daripada kisah derbi serumpun, kita juga disajikan dengan cerita Wan Kuzain dan pasukan Malaysia. Jadi kali ini kami memilih topik Wan Kuzain dan Harimau Malaya.

Patutkah FAM melayan permintaan Wan Kuzain yang mahu beraksi dengan skuad B-22 kebangsaan? Tetapi tak mahu komited kepada skuad senior Malaysia.

Segalanya bermula apabila Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Wan Kuzain ada menghubungi mereka dan menawarkan diri untuk bermain dalam Sukan SEA – bersama skuad B-22 kebangsaan.

Dalam sesi yang sama Hamidin juga menyatakan Wan Kuzain tersedia untuk dipilih oleh Tan Cheng Hoe – skuad utama Malaysia – namun mustahil untuk pemain itu terlibat dalam tugasan kelayakan Piala Asia/Piala Dunia menentang UAE, kerana isu dokumentasi, dan beberapa kerja lain yang perlu dilakukan.

Perkara itu mendapat perhatian ayah kepada Wan Kuzain iaitu Encik Wan Kamal yang memberikan pembetulan kepada kenyataan itu.

Menurut Wan Kamal, Wan Kuzain hanya mahu bermain dalam Sukan SEA bagi mengekalkan kecergasan pada pra musim. Pada masa yang sama, Sukan SEA bukan temasya kompetitif dan melibatkan skuad B-22, jadi ia tidak akan mengganggu status kewarganegaraan FIFA beliau.

Setiap orang berhak ada impian. Dan impian kamu adalah bermain di Piala Dunia, dan sudah pastinya Malaysia bukan pilihan yang bagus berbanding Amerika Syarikat. Itu kita semua faham.

Peraturan FIFA menyatakan, seseorang pemain itu hanya akan mutlak menjadi wakil sesuatu negara selepas bermain aksi kompetitif dengan skuad senior, bukan persahabatan ataupun kejohanan beliau, misalnya.

Jadi, apabila Wan Kuzain terlibat dalam tugasan kelayakan Piala Dunia/Asia, itu adalah perlawanan kompetitif.

Wan Kamal menyatakan, komitmen Wan Kuzain masih lagi kepada Amerika Syarikat, dan mahu bermain Piala Dunia bersama negara tersebut.

FAM harus lupakan Wan Kuzain

Bagi kami, jika perkara ini berlaku, FAM tidak sepatutnya melayan kehendak Wan Kuzain yang terang-terang tidak mahu komited dengan pasukan senior kebangsaan.

Mungkin ada akan berkata, ramai pemain, misalnya, di England, yang membuka 2 kewarganegaraan mereka dalam bola sepak.

Ianya berbeza, kerana mereka masih lagi menyatakan mereka masih membuka peluang kepada mana-mana negara yang memberikan mereka debut kompetitif terlebih dahulu.

Kes terbaru misalnya, Declan Rice yang sebelum ini masih meletakkan Ireland dan England di dalam pertimbangan mereka. Pemain tersebut sebelum ini, terang-terang menyatakan beliau masih belum membuat pilihan mutlak.

Untuk kes Wan Kuzain, slot seorang pemain terlalu besar maknanya, jika ia diberikan kepada pemain yang sudah diisytiharkan ayahnya bukan untuk Harimau Malaya (senior).

Kita masih ramai pemain muda yang bersaing dan bertarung tempat bagi menyarung jersi Malaysia di pelbagai peringkat.

Situasi Wan Kuzain juga tidak ubah seperti Lions XII, yang satu ketika dahulu menyertai Liga Malaysia, di mana, ia memberikan keuntungan kepada satu pihak sahaja.

Dalam kes ini, Wan Kuzain adalah pihak yang beruntung itu kerana beliau boleh menjadikan Sukan SEA untuk menaikkan namanya. Namun apa pula kebaikannya kepada Malaysia?

Hanya untuk kegunaan jangka pendek? Bagi menguatkan pasukan pada Sukan SEA akan datang?

Skuad B-22 Malaysia adalah skuad muda yang terakhir bagi mana-mana pemain sebelum mereka melangkah ke skuad senior.

Jika Wan Kuzain mahu mengekalkan kecergasan beliau, mungkin beliau boleh mencari kelab lain di Eropah untuk berbuat demikian.

Kami juga yakin di Amerika Syarikat mereka menyediakan program ketika rehat musim liga. Ianya pasti pilihan lebih baik berbanding dengan hadir ke kem latihan untuk kejohanan serantau.

Namun jika beliau hanya mahu berlatih dengan pasukan kebangsaan. Itu tidak menjadi masalah. Beliau juga boleh berlatih dengan mana-mana pasukan di Liga Malaysia sekalipun.

Selamat maju jaya kepada Wan Kuzain, dan harap anda berjaya menjadi pemain berdarah Malaysia, yang akan beraksi di Piala Dunia suatu hari nanti. Izinkan kami akan tumpang gembira dengan anda nanti.

Rasanya kamu sendiri sentiasa merasakan kami di Malaysia sentiasa ada dengan kamu. Setiap kali ada undian melibatkan kamu, kami sentiasa ringan tangan mengundi kamu. Dan ia akan sentiasa begitu. Sebab kamu darah Malaysia.

Untuk FAM, pada pandangan kami di semuanyaBOLA, FAM harus melupakan Wan Kuzain. Ini kerana beliau hanya menjadikan Malaysia B-22 sebagai persinggahan, bukannya untuk menjadikan ia sebagai laluan ke destinasi pasukan utama Malaysia.

Tiada pemain yang lebih besar daripada sebuah pasukan, terutama sekali negara. Kita di Malaysia sentiasa ada di sini bersama pasukan, walaupun kami susah dan bahasa kasarnya, mustahil ke Piala Dunia. Namun impian ke Piala Dunia itu tetap sentiasa ada bersama kami para pemain kami, sama seperti impian kamu.

Apapun, jika Wan Kuzain selepas ini menyatakan komitmen beliau untuk bermain dengan skuad Malaysia secara kompetitif, anda sentiasa dialu-alukan untuk bersaing dengan pemain-pemain yang lain.

Kami tinggalkan dengan kata-kata arwah Mokhtar Dahari:

“If you are ashamed to stand by your colours, you better seek for another flag”

Jangan lupa nyatakan pandangan anda di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN