Quantcast

MPFL

MPFL 2019 (Wanita): Kuala Lumpur Rangkul Kejuaraan Edisi Sulung

Kejayaan menundukkan Selangor pada aksi terakhir di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam malam tadi membolehkan skuad wanita Kuala Lumpur muncul juara sulung Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019.

Sebelum perlawanan tersebut berlangsung, Selangor yang dibimbing bekas pemain futsal kebangsaan, Mohd Fairuz Mohd Noor mendahului carta liga dengan kelebihan satu mata berbanding Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur bagaimanapun tampil dengan lebih kemas dan tidak mensia-siakan peluang yang dicipta untuk mencatatkan kemenangan 7-0 hasil dua jaringan daripada Zur’ain Kamarudin dan Noor Hedayah Md. Amin serta satu jaringan masing-masing dicipta oleh Intan Sarah Anisah Zulgafli, Hannani Adriana Shamsul Azizan dan Fasrina Amira Amir Hamzah.

Dengan kemenangan bergaya tersebut, Kuala Lumpur menggungguli liga dengan 27 mata, meninggalkan Selangor ditempat kedua yang mengumpul 25 mata. Sementara itu, Perak (15 mata) dan Kedah (1 mata) menamatkan saingan ditempat ketiga dan keempat.

Kejayaan manis dirakamkan anak buah Mohd Faizul Abdul Gaffar itu membolehkan mereka merangkul hadiah kemenangan bernilai RM50,000.

Sementara itu, pemain Kuala Lumpur, Intan Sarah Anisah dipilih selaku pemain terbaik kejohanan manakala peledak berbisa Selangor, Fatin Shahida Azmi pula muncul penjaring terbanyak selepas menjaringkan 11 jaringan.

Edisi sulung bagi kategori wanita menyaksikan hanya empat pasukan mengambil bahagian dan diharapkan pada musim berikutnya penglibatan pasukan akan bertambah bagi menghangatkan lagi persaingan.

Kredit foto: FAM