Selamat malam pembaca Semuanya BOLA. Seperti biasa, pada malam Isnin kami akan membentangkan sidang editorial SB yang menyatakan pendirian kami secara kolektif tentang sesuatu isu.
Pada 10 Oktober lalu, Malaysia tewas 1-0 kepada pasukan tuan rumah, Vietnam di perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Keputusan tersebut bermakna Malaysia sudah tewas dua dari tiga perlawanan dalam kempen kali ini, berbaki lima perlawanan yang masih harus dilalui.
Untuk mara ke pusingan seterusnya dalam pusingan kelayakan ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe harus muncul juara Kumpulan G, atau tampil selaku empat pasukan terbaik -naib juara – dari kalangan lapan kumpulan yang ada.
Ramai juga yang belum mengetahui proses Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
So, jom kita recap balik.
Thread:
Mekanisme Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.#SBThread pic.twitter.com/LgINOh5f3e— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) September 7, 2019
Itu jika Malaysia mahu ke Piala Dunia. Tetapi pusingan kelayakan ini juga merupakan medan pasukan-pasukan di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk ke Piala Asia – sasaran yang lebih realistik yang harus diimpikan oleh pasukan negara.
Ini bermakna dua kekalahan lalu, belum memadam impian kita ke pentas tertinggi Asia. Malah peluang Indonesia yang berada di kedudukan terbawah Kumpulan G turut masih terbuka.
Yang membezakan nanti adalah laluan yang harus ditempuhi, termasuk perlawanan play-off yang hanya akan menambahkan jumlah perlawanan, tatkala jalan selamat semestinya ialah untuk layak seawal mungkin.
Berdasarkan penjelasan ini, perjuangan pasukan negara sebenarnya masih lagi jauh.
Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku.
Kritikan wajar diberikan namun ia bukan tiket untuk kita menghina atau ‘mengganggu’ ahli keluarga pemain.
Posted by Semuanya BOLA on Friday, October 11, 2019
Kekalahan 1-0 kepada Vietnam pada minggu lalu mengundang reaksi berbeza dari kalangan penyokong berbanding ketika skuad Harimau Malaya membenam Indonesia.
Lebih menyedihkan, terdapat segelintir dari kalangan penyokong Malaysia yang menyerang akaun media sosial pemain dan keluarga mereka.
Walau apa pun alasan yang diberi, perkara ini sepatutnya tidak berlaku tatkala perjuangan belum lagi selesai.
Komen-komen di kalangan penyokong di media sosial adakalanya membuatkan kami tertanya-tanya: “Adakah anda tahu apa yang anda maksudkan?”
Bukan untuk menidakkan kesilapan yang dilakukan ketika perlawanan, tetapi hakikatnya inilah kelompok pemain terbaik yang pasukan negara miliki.
Hendak kritik pun haruslah berpada-pada. Kita ada tatasusila yang dididik oleh orang tua sebagai panduan.
Hakikatnya, inilah pemain-pemain yang dilahirkan oleh Liga Malaysia. Inilah pemain yang dilahirkan oleh industri bola sepak negara, oleh pasukan-pasukan negeri dan kelab yang bersaing di Liga Super.
Agak sedih apabila mengenangkan aksi mereka di saingan domestik adakalanya berlangsung di dalam stadium yang hampir kosong. Di manakah kalian yang mengkritik berlebih-lebihan pada ketika itu? Janganlah baling batu, sembunyi tangan.
Maksud kami di sini, penyokong juga harus membantu untuk memajukan bola sepak tempatan sebelum kita mengimpikan untuk ke Piala Dunia.
Tidak sukar untuk berbuat demikian. Sokong liga tempatan kita dengan hadir ke stadium, beli produk original pasukan tempatan, libatkan diri dalam pengurusan atau kejurulatihan pasukan komuniti/akar umbi dan sebagainya.
Dengan cara itu, penyokong akan tahu realiti bola sepak tempatan dan secara tidak langsung membantu mengubah tahap kualiti pemain yang bersaing di peringkat antarabangsa.
Jika ini dilakukan, ia bagaikan affect changes from within. Serang IG isteri pemain tidak mengubah apa-apa, selain menampilkan dangkal akal fikiran yang kita miliki.
Kaedah persis ‘keyboard warrior‘ ini hanya menggambarkan realiti – satu langkah ke belakang mentaliti penyokong kita.
Puji ketika menang, mengeji ketika kalah ini juga membuktikan kita sebenarnya tidak endah dengan bola sepak kita. Tiada inisiatif susulan dilakukan selain menjadi perwira papan kekunci – yang tidak mendatangkan apa hasil.
Realiti sebenar perbezaan pasukan Vietnam dan Malaysia juga harus diambil kira. Pasukan Vietnam yang sama turut layak sehingga ke suku akhir Piala Asia 2019, sebelum dinafikan Jepun 1-0.
Kelompok pemain muda Vietnam ini juga mara ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 20 di Seoul, Korea Selatan pada 2017.
Perjuangan belum lagi selesai buat skuad Harimau Malaya. Satu perkara yang pasti, menyerang akaun media soisal pemain atau ahli keluarga mereka tidak akan membawa kita ke Piala Asia, jauh sekali Piala Dunia.