Sidang Editorial SB: Bek Kiri Import? Mengapa Tidak?

Sesiapa pun tidak boleh menyalahkan B. Satianathan apabila beliau mengaku secara terbuka dua bek kirinya, K. Prabakaran dan Fandi Othman tidak mencapai standard yang dimahukannya.

Ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Larkin, Fandi Othman bermula sebagai kesebelasan utama. Kesilapan beliau pada separuh masa pertama membolehkan Syafiq Ahmad melepaskan diri dari perangkap ofsaid untuk gol pertama JDT.

Fandi serta-merta dikeluarkan dan digantikan oleh Prabakaran yang beraksi baik. Atas merit ini, Prabakaran pula dipercayai Satianathan untuk mengisi kesebalasan utama ketika separuh akhir kedua di Shah Alam. Kali ini lain pula naratifnya buat bek kiri Selangor yang baru berhijrah ke pasukan negeri kelahirannya pada awal musim 2019 dari Felda United.

Ketika Selangor sedang ketinggalam 1-3 secara agregat, bek kiri berusia 27 tahun ini membiarkan Safawi berlari ke dalam dari titik butanya (blindspot). Kesilapan pertama ini mungkin boleh dibendung jika beliau tidak melakukan kesilapan kedua: meninggalkan ruang cukup besar antara beliau dengan pertahanan tengah terdekatnya, Taylor Regan.

Hasilnya Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol keduanya.

Kemudian pada minit ke-51′, Prabakaran yang pada sebelum itu cuba naik atas membantu serangan Selangor dihukum Safawi sekali lagi. Ruang luas yang ditinggalkan di belakangnya memberi penyerang sayap JDT ini masa cukup lama untuk menjaringkan gol ketiganya – sekaligus meranapkan sisa-sisa harapan Selangor untuk bangkit.

Untuk berlaku adil kepada Prabakaran, gol ketiga Safawi ini mungkin boleh dielak jika Abdul Halim Saari mengambil keputusan untuk mengitar semula penguasaan bola supaya JDT tidak mendapat peluang serangan balas.

Atau mungkin K. Sarkunan perlu lebih peka dengan ruang yang ditinggalkan di belakangnya – menyebabkan Michal Nguyen dan Taylor Regan terkapai-kapai dalam situasi 2v3 yang memihak JDT.

https://youtu.be/UOBsWM1sqGY?t=5198

Masalah pertahanan Selangor isu lama

Tetapi apa yang berlaku pada malam Sabtu lepas hanyalah satu anekdot dalam satu isu besar bagi Selangor sejak 3 musim lepas: kelemahan pertahanan mereka.

Apabila mereka dimalukan PKNS 0-4 pada Februari lepas, Satianathan menyedari beliau memerlukan seorang lagi bek kiri yang boleh memberi saingan kepada Prabakaran untuk tempat kesebelasan utama. Bagi ketua jurulatih Selangor itu, pemain muda seperti K. Kannan dan Syukri Azman bukanlah orangnya.

Pada siri perlawanan pra-musim, Satianathan pernah mencuba Nurridzuan Abu Hassan di posisi bek kiri. Tetapi seperti Ashley Young di Manchester United dan Jesus Navas di Manchester City, pemain sayap di bek sisi bukanlah idea baik.

Jadi Fandi Othman, yang beraksi cemerlang untuk PKNS ketika menumbangkan Selangor pada ketika itu, dibawa masuk secara pinjaman dan Kannan dipinjamkan pula kepada PKNS. Tetapi apabila musim liga berlanjutan, jelas Fandi juga bukanlah solusi masalah bek kiri Selangor.

Masalah ini pastinya membuatkan pengurusan Selangor pening kepala. Siapa lagi bek kiri tempatan yang boleh menyelesaikan mereka?

Fazly Mazlan dan Syazwan Andik mungkin antara nama yang berada dalam senarai pendek. Tetapi kalau difikirkan secara realistiknya, JDT tidak akan (dan setakat ini masih lagi belum) pernah melepaskan pemain mereka secara terus kepada Selangor. Sekurang-kurangnya tidak selagi Tunku Mahkota Johor masih hidup.

Azmeer Yusof, Adib Aizuddin dan Raimi Mohd Nor pula sudah memasuki usia 30-an.

Untuk mendapat servis Ariff Farhan atau Qayyum Marjoni pula, penggabungan PKNS-Selangor perlu menjadi realiti dahulu. Pahang pula tidak terdesak untuk menjual Faisal Rosli. Begitu juga Perak dalam kes Nazirul Naim.

Pesaing Faisal di Pahang; Zubir Azmi pula sudah merosot prestasinya sejak episod kecederaan di Terengganu.

Ketika inilah masalah unik memerlukan penyelesaian unik.

Bek kiri import perlu dipertimbangkan

Pada musim 2020 nanti, barangkali Selangor perlu mengambil seorang pemain import di posisi bek kiri – posisi yang secara tipikalnya diisi oleh pemain tempatan.

Umum sudah mengetahui Rufino Segovia kekal sehingga musim depan. Dengan kecemerlangan prestasi Sandro da Silva dan Ifedayo Olesegun, sukar untuk membayangkan Selangor untuk tidak menyambung kontrak dua pemain ini pada masa hadapan.

Taylor Regan pula mendedahkan kepada media Australia yang beliau sudah menandatangani kontrak lanjutan. Beliau juga dilaporkan merupakan individu yang berpengaruh dan dihormati dalam bilik persalinan Selangor.

Ini bermakna 4 slot pemain import sudah diisi Selangor untuk musim 2020. Michal Nguyen yang tidak popular dalam kalangan penyokong Selangor dan Endrick dos Santos yang kerap dibelenggu kecederaan perlu dilepaskan kerana masih banyak pemain tempatan berkualiti ketika ini boleh mengisi posisi mereka.

Jadi satu slot pemain import Selangor ini mungkin perlu ditumpukan untuk memperkuatkan posisi bek kiri mereka.

Bek kiri boleh dikatakan kepingan terakhir susun suai gambar (jigsaw puzzle) transformasi Selangor di atas padang.

Selagi masalah bek kiri ini tidak diselesaikan, sampai bila-bila dominasi JDT akan berterusan – dan ini tidak bagus untuk meningkatkan minat penyokong mereka mengikuti Liga Malaysia dan turun ke stadium.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN