Ozil Mahu Kekal Di Arsenal Sehingga Emery Dibuang Kerja

Pemain yang kini menjadi buangan di Arsenal, Mesut Ozil mengatakan beliau masih mahu kekal di kelab tersebut sehingga pengurusnya, Unai Emery dibuang.

Menurut laporan Bleacher Report, Ozil merancang untuk tidak membuat permohonan berpindah kepada Arsenal dan dijangka akan kekal sehingga kontraknya tamat 2021.

Namun begitu, menyedari dirinya semakin tidak diendahkan oleh pengurusnya, Ozil dijangka terpaksa mengubah fikirannya daripada sekadar menunggu Emery dipecat.

Hal ini kerana beliau tidak akan diturunkan oleh pengurusnya dalam mana-mana perlawanan dalam masa terdekat.

Oleh itu, Ozil kini mula membuka pilihan untuk berkelana jauh dari Arsenal iaitu menjadikan Amerika Syarikat sebagai destinasi pilihan bagi perpindahan pada bulan Januari 2020.

LA Galaxy, DC United dan juga kelab milik David Beckham iaitu Inter Miami kini sedang memerhatikan dengan penuh minat situasi Ozil.

Emery kini dalam situasi sukar di Arsenal dengan beliau menjadi sasaran penyokong mengenai isu di luar dan dalam padang.

Dengan prestasi tidak menentu pasukan, Emery turut dikecam kerana berterusan tidak menurunkan Ozil yang dianggap antara pemain terbaik dalam pasukan.

Penyokong tegar Arsenal yang sering muncul di laman YouTube AFTV iaitu DT, mendesak agar pihak kelab tampil menjelaskan hal sebenar mengenai situasi Ozil.

“Tempoh hari Emery kata Ozil berlatih dengan baik dan sedang berkerja keras. Tetapi beliau masih tiada dalam skuad.”

“Beritahu kami apa yang terjadi sebenarnya, jika Ozil lakukan sesuatu dibelakang tabir sila dedahkan, dan kami (peminat Arsenal) tak akan kecoh mengenai perkara ini lagi.”

Leave a Reply