Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Siapa Mason Mount; Pemain Derby County Yang Dipanggil Ke Skuad England?

Ketika ketua jurulatih England, Gareth Southgate mengumumkan skuad England untuk dua perlawanan UEFA Nations League (menentang Croatia dan Sepanyol) pada minggu lepas, kening peminat bola sepak England naik melihat beberapa nama baru dalam skuad 25 pemainnya.

Ross Barkley yang sudah 2 tahun tidak terpilih kembali membarisi skuad The Three Lions. Nathaniel Chalobah dan Harry Winks pula kembali menyarung jersi England selepas pulih daripada kecederaan panjang masing-masing.

Turut menarik perhatian adalah 2 nama baru tetapi sememangnya terkenal baru-baru ini lantaran prestasi cemerlang mereka di kelab iaitu penyerang sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho dan pemain tengah kreatif Leicester City, James Maddison.

Tetapi satu nama yang pastinya mengundang tanda tanya daripada penyokong England dan peminat bola sepak Eropah – secara amnya – adalah pemain tengah Derby County, Mason Mount. Persoalannya sekarang – siapakah Mason Mount?

Sanggup guna ‘kabel’ bawa Mount

Mason Mount merupakan produk akademi Chelsea yang kini dipinjamkan ke Derby County; kelab yang diuruskan oleh lagenda Chelsea sendiri, Frank Lampard.

Ketika menyertai akademi Chelsea pada usia 6 tahun, Mount melihat Lampard sebagai idolanya. Memberitahu The Telegraph, Mason mendedahkan beliau sentiasa meletakkan nama ‘Lampard’ di bahagian belakang jersi sebagai inspirasi. “Sebagai pemain muda, saya masih ingat detik-detik saya mengidolakan pemain-pemain hebat seperti [Frank] Lampard, [David] Beckham dan [Steven] Gerrard,” katanya.

Bermain di posisi tengah, Mount merupakan pemain tengah kreatif yang menjadi idaman mana-mana pengurus kelab bola sepak kerana mempunyai skil teknikal yang bagus, kreatif dan lincah.

Maka tak hairanlah Lampard sanggup menggunakan ‘kabel’ beliau di Chelsea untuk membawa Mount ke Derby County selepas melihat sendiri potensi pemain berusia 19 tahun ini ketika di Chelsea sebelum dipinjamkan ke kelab Belanda, Vitesse Arnhem.

ARNHEM, NETHERLANDS – DECEMBER 07: Mason Mount of Vitesse Arnhem reatcs to a missed chance on goal during the UEFA Europa League group K match between Vitesse and OGC Nice at on December 7, 2017 in Arnhem, Netherlands. (Photo by Dean Mouhtaropoulos/Getty Images)

“Saya merasakan Mason akan mempunyai masa depan yang sangat cerah. Beliau memberikan kami (Derby County) kualiti dan tenaga di tengah yang bagus,” kata Lampard mengenai Mount. Keyakinan Lampard terhadap Mount tidak dapat disangkal lagi apabila beliau menelefon Steve Holland (staf jurulatih Southgate di kem England) untuk membawa Mount ke skuad senior.

Mount menyedari pendapat dan penilaian positif Lampard terhadap beliau. “Beliau memberitahu yang saya boleh memecah rekod lebih 100 kaps antarabangsa,” dedah Mount. “Ketika ini saya hanya mahu mendengar nasihat beliau dan mengikutinya sahaja.”

Ketika bermain di Vitesse, Mount bukan sahaja menjaringkan 9 gol daripada 29 penampilan di Eredivisie – satu pencapaian yang sangat cemerlang bagi seorang pemain tengah yang baru berusia 18 tahun. Beliau turut dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan Vitesse – pemain Chelsea ke-3 yang berjaya melakukannya selepas Christian Atsu (2013/2014) dan Slobodan Rajkovic (2010/2011).

Kini bermain di Derby County, Mount sudah merakam 3 gol daripada 12 penampilan liga Championship.

Ketika menentang Manchester United dalam saingan Carabao Cup, Mount bertanggungjawab merajai zon tengah untuk memberi masa sukar buat Ander Hererra, Nemanja Matic dan Juan Manuel Mata. Apabila perlawanan diheret sehingga ke penentuan penalti, Mount tidak mempunyai masalah menyempurnakan penaltinya untuk membantu Derby menang ke atas United.

Harap dapat main skuad senior Chelsea

Potensi Mason Mount sebagai pemain sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Pada usia 19 tahun, dapat panggilan skuad senior England sahaja sudah merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan.

Malah apabila Gareth Southgate memanggil beliau, Phil Foden dan Ryan Sessegnon untuk menjadi sparring partner skuad senior England sebelum kempen Piala Dunia 2018, Mount masih menggosok-gosok matanya untuk bertanya – apakah semua ini realiti?

Bagaimanapun ramai peminat bola sepak Eropah sudah menyaksikan ramai pemain-pemain muda England yang tidak berjaya memenuhi potensi bakat mereka sendiri. Ketika England menjadi juara dunia dalam Piala Dunia Bawah-19 di Georgia, Mount diumumkan sebagai Pemain Paling Berharga.

Mount menyedari hakikat ini. “Matlamat saya selepas ini adalah untuk masuk ke skuad senior Chelsea pada musim hadapan,” katanya. “Apa-apa pencapaian selain itu adalah bonus.”

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Sumbangan anda membolehkan masa depan penulis-penulis kami terus terjamin. Dengan hanya RM5, anda boleh menyokong Semuanya BOLA - dan ia hanya mengambil masa 1 minit. Terima kasih.

atau Beri Sumbangan

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!