Siapa Jaguh ‘Derbi Seberang Tambak’ Di Shah Alam Malam Ini?

Tiga mata pertama sudah diraih oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam aksi pertama Kumpulan A, Sukan SEA 2017 Isnin lalu. Kini ranjau sebenar akan mula dihadapi oleh skuad muda negara apabila bakal bertemu musuh seberang tambak, Singapura.

Sebelum Sepak Mula

Walaupun Singapura membawa majoriti pemain berumur 20 tahun ke bawah untuk Sukan SEA kali ini bagi tujuan pendedahan,  namun, sentimen permusuhan pastinya akan membangkitkan aura pertembungan ini. Ianya dijangka akan menjadi perlawanan yang tegang dan sengit.

Kim Swee sudah pasti akan menurunkan kesebelasan terbaiknya untuk ‘Derbi Seberang Tambak’ ini. Pemain seperti ‘gandingan Pulau Mutiara’ iaitu S. Kumaahran dan Syamer Kutty Abba yang masuk di babak kedua ketika menentang Brunei tempohari mungkin bakal diletakkan dalam senarai utama.

Kumaahran dijangkakan bakal menggantikan Jafri Firdaus Chew yang dilihat mengalami kecederaan dalam aksi tempohari dan dengan aksi di bawah tahap sebenar dipamerkan, Jafri hampir pasti direhatkan.

Aksi tenang Syamer di jentera tengah tempohari memungkinkan beliau untuk tersenarai dalam aksi ‘panas’ ini agar skuad lebih seimbang.

Selain Syamer, Kim Swee boleh mempertimbangkan kemasukkan Amirul Hisyam Awang Kechik yang juga memiliki permainan tenang dan mampu mengawal jentera tengah dengan baik.

Bukan menidakkan kemampuan Azam Nor Azih dan Danial Amier, tetapi perlawanan seperti ini memerlukan pemain yang ada ‘pengalaman’ dan ‘kemahiran’.

Akhyar Rashid – Foto: Asiana.my

Masalah utama dalam perlawanan pertama adalah keserasian dan sentuhan penyudah. Kim Swee telah berjanji yang anak buahnya akan mempamerkan aksi yang lebih baik untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.

Selain itu, perkhabaran terbaru, Kim Swee berkemungkinan besar akan menyenaraikan Akhyar Rashid dan N. Thanabalan.

Bagi Singapura, kekalahan tempohari pasti ingin ditebus dengan aksi yang lebih baik, lebih-lebih lagi menentang Malaysia. Kekalahan kedua menandakan kempen Sukan SEA mereka bakal berakhir.

Perlawanan dengan Myanmar dikuasai sepenuhnya oleh lawan walaupun Ikhsan Fandi berjaya membuat empat percubaan ke gol lawan.

Ikhsan diberitakan akan cuba memberikan aksi yang lebih baik di depan ayahnya, lagenda Singapura, Fandi Ahmad, yang akan turun ke Shah Alam, malam ini. Baginya, perlawanan menentang Malaysia sangat istimewa walaupun ini merupakan pertama kali Ikhsan akan bertentang mata dengan skuad Harimau Muda.

Pemain Tumpuan

Safawi Rasid – Foto: Naim Mahmud/Asiana

Ya, tidak dinafikan ramai penyokong yang kurang gemar akan pemain ini kerana kontroversinya sebelum ini, namun kita harus akui kemampuan Safawi Rasid dalam memberikan demensi berbeza di jentera serangan Malaysia.

Dalam aksi pertama menentang Brunei, Safawi menyumbang satu gol menarik dan satu bantuan gol.

Mempunyai kepantasan larian, kawalan bola yang baik serta rembatan padu, Safawi dilihat mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan. Gol sepakan voli menarik yang dilakukannya tempohari meletakkan dirinya sebagai pemain tumpuan untuk aksi kali ini.

Safawi jarang mendapat tempat dalam aksi liga, namun telah menyumbang dua gol untuk JDT (Liga Super dan Piala Malaysia).

Dengan usianya yang baru menjengah ke usia 20 tahun, Safawi telah memiliki tiga kaps skuad senior kebangsaan dan anak kelahiran Dungun ini dalam misi untuk membuktikan sesuatu dalam temasya Sukan SEA ini.

Selain Safawi, tumpuan juga wajar diberikan kepada Adam Nor Azlin yang bermain di posisi pertahanan. Kebolehannya bermain di semua posisi melayakkannya menjadi ‘senjata rahsia’ Kim Swee untuk merubah keputusan sepertimana gol kemenangan ke atas Brunei tempohari.

Rekod Pertemuan Sukan SEA

Skuad Emas Sukan SEA 1989 – Foto: Kosmo

Malaysia dan Singapura telah bertembung 14 kali dalam aksi Sukan SEA dan separuh daripadanya kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri. Bakinya, Malaysia menang empat sementara Singapura tiga kali.

Pertembungan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada Sukan SEA 2013 di Myanmar untuk perebutan pingat gangsa. Dua gol pemain tengah Singapura, Hariss Harun telah membantu Singapura menewaskan Malaysia dengan keputusan 2-1.

Ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 1989, Malaysia bertemu Singapura di pentas akhir yang berkesudahan Malaysia menang 3-1 seterusnya meraih pingat emas. Borhan Abu Samah, Lim Teong Kim dan Dollah Salleh adalah wira buat skuad Malaysia ketika itu.

Rekod Semasa

Walaupun mencatatkan keputusan menang tipis 2-1 ke atas Brunei, Malaysia mampu mencipta deretan peluang dalam perlawanan tersebut. Dari sudut positifnya, Malaysia mampu untuk mendapatkan sesuatu daripada perlawanan malam ini, sekiranya memanfaatkan peluang yang ada.

  • 19 Julai: Indonesia 0-3 Malaysia (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 21 Julai: Malaysia 0-3 Thailand (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 23 Julai: Malaysia 2-0 Mongolia (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 14 Ogos: Malaysia 2-1 Brunei (Sukan SEA 2017)

Bagi Singapura pula, mereka telah melalui beberapa siri perlawanan persahabatan sepanjang tahun 2017 antaranya menentang Vanuatu, Qatar, India, kelayakan Kejohanan AFC B-23 serta Kejohanan Piala Dubai pada Mac lalu. Jurulatih skuad B-23 Singapura, Richard Tardy seolah-olah sedang menyediakan skuad masa depan buat Singapura.

  • 19 Julai: Myanmar 2-0 Singapura (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 21 Julai: Australia 7-0 Singapura (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 23 Julai: Brunei 1-4 Singapura (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 14 Ogos: Myanmar 2-0 Singapura (Sukan SEA 2017)

Ramalan Semuanya BOLA

Satu perlawanan yang sukar buat kedua-dua pasukan. ‘Derbi Seberang Tambak’ pasti akan menjanji perlawanan yang agak berlainan dari segi emosi, rentak dan rencah perlawanan, sokongan penyokong serta sebagainya. Pasukan yang mampu mengawal situasi dalam dan luar padang pasti akan menjadi pemenangnya.

Malaysia mampu untuk mengatasi Singapura seandainya keputusan di Kejohanan Piala Dubai pada bulan Mac lalu diambil kira. Dalam perlawanan tersebut, Malaysia menang 3-1 hasil jaringan Adam Nor Azlin, S. Kumaahran dan N. Thanabalan.

Ramalan: Malaysia 2-1 Singapura.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN