Pelantikan Pengarah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Dennis Bekking sebagai Pengarah Teknikal Selangor untuk musim depan pastinya agak mengujakan bagi mereka yang mengetahui latar belakang individu ini.
Selepas tidak ditawarkan lanjutan kontrak oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Selangor pantas mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Belanda berusia 45 tahun ini bagi mengukuhkan hal teknikal melibatkan pasukan tersebut.
Awal pelantikannya di AMD sebenarnya tidak mudah buat Bekking memandangkan beliau mengambil tempat jurulatih yang cukup popular di mata rakat Malaysia iaitu Lim Tiong Kim yang mempunyai reputasi besar kerana pernah menjadi jurulatih skuad remaja Bayern Munich.
Dari Belanda singgah ke Gambang
Berasal dari wilayah Overijssel, Belanda, beliau berjaya menamatkan pengaian di Akademi Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB).
Kariernya dalam bidang kejurulatihan bermula pada 2002 apabila ditugaskan sebagai Ketua Unit Pembangunan Skuad Remaja PEC Zwolle merangkap jurulatih skuad bawah 12 tahun (B-12) dan B17.
Di atas kecekapannya dalam hal-hal teknikal dan taktikal, Bekking mula diberi kepercayaan untuk menjadi penolong jurulatih dan juga penganalisis untuk skuad utama kelab Eredivisie itu.
Kemudian pada 2009 beliau berhijrah ke FC Twente dengan peranan yang sama dalam memberi tumpuan kepada pembangunan di peringkat akar umbi apabila dilantik menjadi Pengarah Akademi kelab tersebut.
Fokusnya adalah menyelia latihan serta bengkel kejurulatihan bagi membangunkan dan memantau bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan.
Eerste sessie over spelsysteem en speelwijze. Toelichting van Dennis Bekking, Hoofd -Jeugdopleiding bij FC Twente. pic.twitter.com/4b1DaA2Yrj
— v.v. SVI (@vvsvi) December 18, 2015
Selepas itu Bekking meneruskan kerjayanya ke kelab divisyen ke-2 Belanda, Go Ahead Eagles FC pada 2016 sebagai Pengurus Teknikal dan Pengarah Sukan bagi menguruskan hal teknikal pasukan utama, kedua dan akademi.
Dari segi kelayakan, beliau merupakan graduan Sarjana Kepimpinan Sukan di Universiti Salford, Manchester dan mempunyai kelayakan seperti tenaga pengajar jurulatih KNVB selain merupakan pemegang lesen kejurulatihan UEFA A.
Sepanjang dua tahun di AMD yang berpusat di Gambang, beliau sebenarnya telah banyak memperbaiki hal-hal melibatkan urusan pentadbiran meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 untuk tempoh yang agak panjang.
Selangor dan projek pembangunan
Bekking mempunyai pengalaman dengan beberapa kelab di Eropah dan kemudian mengemudi AMD yang mempunyai fasiliti yang serba lengkap.
Ianya dilihat selari dengan komitmen Selangor yang begitu giat memberi penekanan terhadap programnya di peringkat akar umbi dan membangunkan satu demi satu fasiliti sukan di pusat latihannya.
Kejuaraan Piala Belia 2022 Bukti Keberkesanan Program Pembangunan Akar Umbi Selangor FC
Pelantikan Bekking pastinya amat penting untuk membina falsafah kelab selain terus memanfaatkan sains sukan untuk meningkat prestasi pasukan.
Kerjasamanya dengan barisan jurulatih seperti Tan Cheng Hoe dan Nidzam Jamil amat penting dalam menyelia pendidikan jurulatih serta memberi tumpuan kepada pengambilan dan pembangunan bakat muda.
“Selangor FC telah berjaya mengenal pasti dan merekrut ramai bakat muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ianya tidak berhenti di sini,” ujar Bekking dalam kenyataannya yang disiarkan oleh laman web rasmi Selangor FC.
“Dengan kemasukan prospek masa depan yang muda ini ianya telah menjadi satu keperluan untuk kita menyediakan laluan pembangunan belia yang betul bermula dari B18 hingga ke pasukan utama.
“Saya bersedia untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme buat pemain muda ini bersama-sama jurulatih dan kakitangan di Selangor FC.”