Kedah Darul Aman (KDA) dilihat berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini apabila masih segar dengan kejayaan mengutip tiga mata penuh dalam aksi Liga Super 2022 sebelum itu ketika menewaskan Sarawak United.
Untuk perlawanan seterusnya, mereka bakal berhadapan Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam misi untuk mengukuhkan posisi dalam carta liga.
Fight between Asean Zone Semi-final #AFCCup2022 Candidates! 👊 Pulun Kedah Pulun! pic.twitter.com/eF5hef0HoF
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) July 26, 2022
Kejayaan lalu ketika membenam Sarawak United dengan keputusan 3-1 bakal menjadi pemangkin buat pasukan ini untuk mempamerkan aksi terbaik di gelanggang lawan malam esok.
Menurut Aidil Sharin Sahak selaku pengendali KDA, beliau jelas mahu para pemain untuk terus mengulangi rentak perlawanan lalu ketika berdepan Sarawak United supaya keputusan positif mampu diperoleh mereka biarpun bakal berdepan sorakan padu tuan rumah.
“Memang kami tahu cabaran yang sukar menanti kami apabila berdepan KL City di tempat lawan, dan oleh itu saya mahu setiap pemain mengekalkan rentak kemenangan yang baru diperolehi di Darul Aman minggu lalu.
“Namun dalam perlawanan ini, siapa yang melakukan kesilapan pasti akan ‘gigit jari’ dan saya mahu Kedah cuba mengelak dari melakukan kesilapan mudah yang boleh merugikan peluang dalam usaha memburu mata penuh malam esok.
“Pemain perlu pastikan mereka tidak leka selepas mendapat suntikan kemenangan lalu bagi mengelak keciciran mata dan memastikan kedudukan di tangga keempat ini tidak dipintas oleh tiga pasukan bawah termasuk KL City,” kata Aidil menerusi Berita Harian.
Selain itu, pengendali yang berasal dari Singapura tersebut juga menegaskan agar setiap peluang mereka miliki di hadapan gol perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Pada beberapa perlawanan sebelum ini, aspek penyudah KDA jelas agak tumpul dan mereka kerap mensia-siakan peluang terbuka untuk memperoleh gol.
Dengan kemasukan pemain serangan import baharu iaitu Mahmoud Al-Mardi, jelas ia sedikit sebanyak mampu melegakan kem KDA menerusi kelincahan serta ketajaman beliau di hadapan gol.
Today's Man of the Match? You're looking at him.
Well played, Mahmoud Al-Mardi! 💚💛#KDAFC #PulunKedahPulun #SangKenari #BiarJasaJadiKenangan #2022season #LS12 #KDASAR pic.twitter.com/0Fypnputno
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) July 19, 2022
“Pemain harus kekal fokus dalam misi memburu tiga mata kali ini dengan memastikan setiap peluang yang hadir dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Untuk rekod pertemuan musim ini, KDA berjaya mencatat kemenangan 3-2 pada 9 Mac lalu di Stadium Darul Aman dan ini dilihat bakal menjadi tonik terbaik untuk meningkatkan motivasi pasukan tersebut.