Siap ‘Petik’ Liga M & JDT, Ini Perkongsian Alexandre Polking Tentang Kualiti Pemain Thailand

Alexandre Polking Thailand AFF 2020 juara

Bercakap kepada sebuah podcast Malaysia, The Bola Bola Show, pengendali yang membawa kejuaraan ke bumi Thailand, Alexandre Polking telah berkongsi tentang rahsia kejayaan skuadnya dalam Piala AFF Suzuki 2020.

Salah seorang pendengar podcast tersebut, Amir Farhan telah menyenaraikan beberapa perkara penting dalam perbincangan yang mengambil masa selama hampir 40 minit itu yang turut menyentuh situasi bola sepak di Malaysia. Beliau telah memuat naik status di akaun Facebooknya tentang isi perbincangan temu bual tersebut.

Antara yang menarik adalah tentang bagaimana beliau mengambil masa yang singkat untuk membentuk skuad Gajah Perang ke kejohanan tersebut dengan pihak FA Thailand (FAT) sasarkan untuk mereka menjuarainya.

Polking turut berbicara tentang kualiti pemain Thailand yang berjaya membantunya membentuk skuad yang ampuh waima hanya skuad kedua. Masih ingat bagaimana Thailand membenam ‘ego’ Singapura 2-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan? Walaupun dibarisi pemain yang memanaskan bangku simpanan, mereka menang.

Turut disentuhnya tentang kualiti liga di Malaysia, penguasaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan waktu emas bagi pembangunan pemain muda yang mampu melahirkan pemain yang berbakat dan juga yang berdaya saing.

Antara kata kunci dalam perbincangan tersebut adalah bagaimana pembangunan pemain muda yang bagus dan pengurusan kelab yang terbaik mampu melahirkan pemain berkualiti. Begitupun, baginya Thailand tampak masih kekurangan daripada segi pembangunan pemain muda melibatkan pemain di bawah usia 18 tahun.

“Alexandre Polking [AP] merasakan pembangunan pemain muda di sana kurang baik sebab Thailand masih kekurangan ‘competition’ untuk B-18, B-17, B-15 dan lain-lain. Bagi AP, umur 14 hingga 18 tahun adalah waktu emas yang boleh melahirkan pemain yang berbakat,” memetik ringkasan oleh Amir Farhan.

Bagaimana untuk melahirkan pemain-pemain yang berkualiti pula? Ungkapnya berdasarkan ringkasan tersebut, “Liga yang berkualiti akan membawa [perbincangan] kepada padang latihan yang baik dan stadium yang baik untuk bermain. Contoh di Malaysia, kamu ada JDT. Mereka ada segalanya, bagaimana dengan pasukan lain?”

“Adalah realistik untuk kelab bukan JDT [selain JDT] untuk jadi ‘competitive’ kerana JDT mempunyai semua pemain yang bagus. Mereka adalah kelab yang hebat. Tapi, bagaimana dengan liga kamu [Liga M]? Macam mana kamu boleh ‘improve’ sebagai satu liga,” titip Amir Farhan tentang isi percakapan Polking lagi.

Apabila perkara asas di kelab telah disediakan, pemain berkualiti akan mampu dilahirkan. Itu menurut Polking. Apakah perkara asas itu? Ini dijelaskannya dalam perbincangan mengenai bekas kelabnya, Bangkok United.

“Semasa AP memegang Bangkok United pada 2013, kelab tersebut di ambang penyingkiran ke liga kedua [Thai League 2]. Lima tahun kemudian, dengan kerja keras dan pelaburan dalam akademi dan ‘training centre’, mereka adalah ‘top 3’ pencabar liga. Dan baginya itu adalah kejayaan,” antara ungkapan Polking.

Selain menjalin kerjasama dengan Surasakmontree School dan Bangkok Christian College, Bangkok United turut memiliki akademi di bawah projek mega, ‘cp-dreams’. Dan beberapa pemain berkaliber berjaya dilahirkan menerusi kerjasama dan juga akademi kendalian mereka antaranya Sasalak Haiprakhon dan Sarayut Sompim.

Dan hasil pengurusan kelab yang teratur dan liga yang terbaik, Thailand kini memiliki generasi bola sepak yang memiliki asas bola sepak yang terbaik. Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, tugasannya menjadi lebih mudah.

“Kebiasaannya untuk pemain faham cara baru, ia memerlukan latihan selama 2-3 minggu. Dengan kualiti pemain yang saya ada, semuanya menjadi mudah. Dengan hanya 1 atau 2 sesi latihan, mereka sudah boleh menunjukkan hasilnya di atas padang perlawanan,” ungkap Polking yang dititipkan semula Amir Farhan.

‘Macam Divisyen 8 Jerman’, Thomas Dooley Kritik Fasiliti Sri Pahang

Jadi, beliau tidak memerlukan kem latihan yang panjang sehingga perlu ke luar negara untuk membentuk skuad yang mantap. Hanya bawa pemain yang sesuai dengan falsafah yang mahu diterapkan dan laksanakan ketika sesi latihan. Dan pemain Gajah Perang hanya perlukan masa yang singkat untuk memenuhi perancangannya.

Setiap proses perubahan memerlukan masa dan begitu juga Liga Malaysia. Jika benar-benar mahu mencabar sehingga ke pentas Asia, dahulukan perkara asas dan ia melibatkan kelab-kelab dan juga penganjur, Malaysian Football League (MFL). Perkara asas sebuah kelab harus miliki dan juga menyediakan liga yang lebih berkualiti.

Bukannya kemudahan pasukan seperti divisyen 8 Jerman bak kata bekas pengendali Sri Pahang, Thomas Dooley yang kemudian ‘direhatkan’ atas komennya itu. MFL juga perlu menjadi operator liga yang bagus, bukannya seperti insiden musim lalu yang menyaksikan Harimau Malaya ‘terkorban’ awal di Piala AFF 2020.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN