Pengendali pasukan FELDA United, B. Sathianathan meluahkan rasa kurang senang dengan keputusan PKNP FC yang memilih aksi suku akhir pertama Shopee Piala FA pada hari Sabtu ini dilangsungkan pada waktu petang di Stadium Batu Kawan.
Menurut laporan daripada akhbar tempatan, Berita Harian, Stadium Batu Kawan sebenarnya sudah diberi kebenaran untuk menganjurkan perlawanan bola sepak pada waktu malam berikutan lampu limpah stadium berkenaan sudah dibaiki.
“Tuan rumah boleh memilih waktu sepak mula yang dimahukan. Namun siapa yang mahu datang menyaksikan perlawanan pada jam 4.15 petang? Mungkin selepas ini kita patut beraksi pada jam 2 petang,” katanya.
Menurut Sathia, FELDA sudah membuat rayuan kepada pihak Malaysia Football League (MFL) untuk menukar waktu sepak mula bagi aksi Piala FA.
Malah, mereka juga memohon untuk menangguhkan aksi liga premier menentang Terengganu FC II (TFCII). Pasukan itu dijadualkan bertemu TFC II tiga hari selepas aksi Piala FA.
Pendahulu Liga Perdana itu kemudiannya perlu terbang ke Sabah untuk satu lagi aksi liga pada 14 April, sebelum melayan kunjungan PKNP FC untuk aksi suku akhir kedua Piala FA enam hari berikutnya.
Sathia menyifatkan jadual padat itu seakan tidak adil kepada pasukannya kerana lawan mempunyai tempoh rehat yang cukup.
“Kami akan ke Kuala Terengganu tiga hari selepas aksi Piala FA di Batu Kawan dan kemudiannya terbang ke Kota Kinabalu.
“Semua pasukan memiliki tempoh rehat yang cukup sebelum berdepan kami. Kami satu-satunya pasukan Liga Perdana yang terbabit dengan Piala FA namun kami masih perlu beraksi di pertengahan minggu ketika pasukan Liga Super tidak berdepan sebarang perlawanan.” jelasnya.
PKNP FC yang beraksi dalam saingan Liga Super tidak mempunyai perlawanan di pertengahan minggu sementara TFCII dan juga Sabah tidak terlibat dengan Piala FA.
Saingan Liga Super hanya akan kembali bersambung pada 13 April 2018.