Hamidin Ucap Tahniah Dan Terima Kasih Kepada TMJ, Harimau Malaya Dan Penyokong

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin meluangkan masa untuk melakarkan ucapan tahniah kepada TMJ, Tan Cheng Hoe dan skuad Harimau Malaya tengah malam semalam.

Kenyataan yang dimuat naik di dalam laman Facebook FAM itu berbunyi:

“Tahniah buat Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya, para pemain Harimau Malaya yang berjuang bersungguh-sungguh di atas padang serta barisan pegawai pasukan yang akhirnya berjaya menamatkan kemarau panjang tanpa kemenangan dengan kita berjaya membelasah Bhutan 7-0 pada perlawanan malam tadi.”

Dato Hamidin berkata, TMJ yang secara dasarnya masih Presiden FAM pada hari perlawanan semalam, telah bermurah hati untuk menghadiahkan bonus kepada para pemain.”

“Tidak lupa juga tahniah buat DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang secara teknikalnya masih Presiden FAM sehingga keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif FAM, jam 11.00 pagi ini, kerana akhirnya menghadiahkan kemenangan pertama Harimau Malaya sejak kali terakhir pada November 2016.”

“Dan ini juga kemenangan terbesar Malaysia selepas tempoh 23 tahun. Junjung kasih di atas kesudian Tunku Ismail menganugerahkan bonus kepada para pemain di atas kemenangan ini.”

“Terima kasih juga buat kira-kira 6,000 penyokong yang terus setia hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi bagi memberikan sokongan padu buat skuad Harimau Malaya terutama Ultras Malaya yang menghidupkan suasana sepanjang 90 minit perlawanan, sekali gus memberikan semangat tambahan buat para pemain untuk beraksi dengan lebih baik.”

Leave a Reply