Bagi memastikan ‘pisang tidak berbuah dua kali’ selepas kealpaan pada babak awal perlawanan dihukum oleh PKNS FC ketika pertembungan Liga Super bulan lalu, Perak tekad mahu memastikan gawang mereka tidak bolos begitu awal.
Ketua pasukan, Nasir Basharuddin berkata kepada Berita Harian, rakan sepasukannya berwaspada terhadap ancaman PKNS FC yang mahu memburu kemenangan selesa di halaman sendiri.
“Saya tidak beraksi dalam perlawanan di Lumut itu kerana kecederaan, tetapi dapat membuat rumusan antara satu sebab kami tewas kepada PKNS kerana gol awal berkenaan.
“Apabila anda ketinggalan terlalu awal, amat sukar untuk bangkit kerana lawan akan berusaha menutup setiap ruang untuk mempertahankan gol itu.
“Malah, mereka mengambil kesempatan daripada keghairahan kami mencari gol penyamaan dengan menjaringkan gol kedua. Itu akan menyukarkan kami. Jadi, untuk perlawanan Sabtu ini, saya harap ia tidak berulang,” ujar Nasir.
Walau bagaimana pun pemain tengah itu berkata, The Bos Gaurus lebih bersedia untuk menangani skuad Semut Merah kali ini kerana sudah menemui tempo serta keserasian dalam permainan.
Malah apa yang melegakan Nasir, lima rakan sepasukan yang baru selesai tugasan bersama skuad kebangsaan, pulang tanpa sebarang kecederaan.
Kelima-lima pemain itu, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Nor Hakim Hassan dan Syazwan Zaipol Bahari telah menyertai latihan skuad Perak sebaik sahaja kembali ke Ipoh.
Sementara itu, pemain import PKNS FC, Faris Ramli menaruh harapan tinggi agar dapat mengulangi detik manis itu bersama PKNS musim ini namun sedar perlu terlebih dahulu berdepan tugas getir untuk melepasi halangan Perak yang mempunyai impian sama.
“Ia perlawanan yang sukar kerana Perak sebuah pasukan mantap dan makin meningkat. Sudah tentu kemenangan 2-0 kami ke atas mereka pada Liga Super tidak boleh dijadikan ukuran lagi.
“Namun, saya yakin Datuk (K) Rajagobal sudah bersedia dengan beberapa muslihat untuk memerangkap lawan kami itu. Beliau memang terkenal sebagai jurulatih yang memiliki pelbagai formasi dalam poketnya.
Begitu pun Faris berharap dia tidak menjadi korban peraturan Piala FA musim ini yang hanya membenarkan empat pemain import sahaja disenaraikan dalam setiap perlawanan.
“Saya harap walau apa pun formasi yang bakal digunakan jurulatih, nama saya tetap berada dalam senarai kerana saya tidak mahu terlepas walau satu pun perlawanan bersama PKNS musim ini apatah lagi untuk Piala FA.
“Setakat ini, saya bermain dalam kedua-dua perlawanan Piala FA ketika menentang Hanelang (FC) dan Kelantan. Ketika itu Zac Anderson tidak bermain kerana cedera.
“Tapi, sekarang Zac sudah pulih menjadikan saingan untuk mengisi empat kuota import itu semakin sengit. Saya mahu bermain namun akur jika jurulatih membuat keputusan sebaliknya kerana kejayaan pasukan lebih utama,” kata pemain Singapura itu.