Tugas sukar sedang menanti skuad Terengganu FC apabila mereka bakal berdepan juara bertahan, Pahang dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, malam ini.
Biarpun mereka tewas 0-3 dalam pertemuan terakhir di Liga Super musim ini, pengendali skuad itu, Irfan Bakti Abu Salim yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk menewaskan Pahang bagi memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka.
Irfan juga menyifatkan tiada pasukan pilihan dalam saingan Piala FA kerana semangat pemain sangat berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan Liga Super.
“Piala FA seperti di England, cukup klasik dan ada keunikannya. Tiada lagi pasukan pilihan sebaik sahaja mara ke suku akhir kerana semangat pemain pasti berbeza.
“Mencari kemenangan dan mengelak dari dibolosi pasukan lawan adalah misi utama kami,” jelas Irfan dalam Stadium Astro
Malah, ayam tambatan mereka, Kipre Tchetche kini sudah kembali mendapat rentak permainannya seperti musim lalu sekaligus menguatkan lagi keyakinan Irfan terhadap barisan pemain kali ini.
“Dia (Tchetche) lebih berani membuat gerakan dan percubaan, boleh dikatakan ini adalah Tchetche yang sebenar.
“Contohnya musim lalu, tiada siapa memberi harapan kepada kami dalam Piala Malaysia namun kami berjaya mengetepikan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir,” katanya.
Manakala Pahang pula tidak dapat menurunkan penyerang utama mereka, Dickson Nwakaeme yang mengalami kecederaan peha dan situasi itu memberi sedikit kelegaan kepada barisan pertahanan Terengganu FC.
“Bagi saya, ia tidak seberapa kerana ia perlawanan 11 lawan 11, jadi Pahang pun memiliki senarai pemain yang cukup lengkap.
“Mereka tidak hanya mengharapkan Nwakaeme tetapi ia sekurang-kurangnya mengurangkan bebanan pertahanan saya.
“Kali terakhir saya tengok Pahang menentang JDT (Johor Darul Ta’zim), permainan mereka sudah berubah jika hendak dibandingkan ketika mereka menewaskan kami 3-0 tempoh hari.
“Dalam Piala FA ini, pemain-pemain kami sudah bersedia untuk membuat kejutan,” tegasnya dalam Stadium Astro.