Pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov membantu Terengganu FC untuk bangkit membenam cabaran Kelantan United 3-1 dalam saingan pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019, sebentar tadi.
Satu gol dan dua assistnya menjadi inspirasi kebangkitan Sang Penyu yang terlebih dahulu ketinggalan satu gol dalam aksi babak pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu untuk melangkah gagah ke peringkat suku akhir Piala FA.
Pengendali Kelantan United, Zahasmi Ismail dilihat tiada niat untuk bertahan dalam perlawanan ini apabila mempertaruhkan formasi 4-3-3 menentang sebuah pasukan daripada saingan Liga Super.
Untuk Terengganu, tiada perubahan ketara apabila menyenaraikan barisan terkuat mereka walaupun menentang kelab kecil, namun Mohamad Nik memberikan debut buat Hasnizaidi Jamian.
Rentak awal yang perlahan dipamerkan oleh Terengganu namun kemas dan teratur, mungkin mereka mahu lebih bertenang dalam merencana gerakan ke kubu tuan rumah. Sementara Kelantan United pula tampil dengan lebih agresif dan pantas.
Dan hasilnya, pada minit ke-10, kesilapan pemain tengah bertahan, Khairu Azrin yang terlepas kawalan bola, Kelantan United berada di depan hasil jaringan menarik, Rozaimi Azwar dari luar kotak penalti menewaskan Suffian Ab Rahman yang meninggalkan gawangnya.
Rozaimi Azwar tampil bijak mengambil peluang dengan pantas merebut bola dan hanya berdepan penjaga gol untuk meledak jaringan pertamanya dalam saingan Piala FA musim ini.
Sang Penyu dilihat masih ‘hanyut’ walaupun sudah ketinggalan dengan setiap asakan yang direncana acap kali tersekat di final third. Disiplin bertahan Kelantan United juga sangat baik apabila dapat menenggelamkan Tchetche Kipre dan Abd Malik Ariff.
Menuju penamat babak pertama, tuan rumah sudah beberapa kali mengasak gawang pelawat namun variasi idea yang direncanakan gagal disudahkan dengan lebih baik berbanding Terengganu yang berterusan membiarkan Shahrizan Ismail ‘berehat’ di gawangnya.
Beberapa saat sebelum babak pertama tamat, Shahrizan akhirnya diuji dan berjaya menafikan percubaan Sanjar Shaakhmedov.
Sanjar Shaakhmedov akhirnya berjaya mengubati kekecewaannya dan memadamkan kelebihan tuan rumah di minit ke-50 apabila rembatan kaki kanannya di luar kotak penalti berjaya menewaskan Shahrizan di gawang – gol keduanya dalam saingan Piala FA.
4 minit kemudian, Tchetche Kipre berjaya menambah gol kedua buat pelawat apabila hantaran Sanjar Shaakhmedov berjaya disudahkannya menerusi percubaan placing ke sudut kanan gol yang dikawal Shahrizan – gol pertamanya untuk musim ini.
Jaringannya itu akhirnya menamatkan penantian penyokong dan juga kemarau jaringan yang dilalui penjaring terbanyak kem Terengganu musim lalu itu sejak permulaan musim 2019.
Tchetche Kipre gagal menambah koleksi jaringannya pada minit ke-67 apabila rembatannya di depan gawang tersasar.
Kelantan United cuba bangkit memberikan respon dengan kembali mengasak ke kawasan kubu Sang Penyu namun suntikan semangat dua gol pantas membolehkan benteng pelawat kembali fokus.
Terengganu kian selesa beraksi apabila kapten, Lee Tuck berjaya meledak gol ketiga pelawat menerusi rembatan deras daripada luar kotak penalti untuk menewaskan Shahrizan pada minit ke-73.
Perlawanan yang kian perlahan akhirnya ditamatkan oleh pengadil dan menyaksikan Terengganu berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA 2019 menyingkirkan wakil Liga M3, Kelantan United.
Kelantan United: Shahrizan Ismail (PG) (K), Nazri Muhamad, Seydou Sako, Shamsul Kamal, Faizol Nazlin, Rozaimi Azwar, Fikram Mohammad (56′ Famirul Asraf) Shahrul Hakim (82′ Khairul Ramadhan), Amir Zikri, Carlos Zozimar, Fakhrul Zaman
Terengganu FC: Suffian Ab Rahman (PG), Igor Zonjic, Adib Aizuddin, Nasrullah Haniff, Hasnizaidi Jamian, Khairul Anwar, Lee Tuck (K), Khairu Azrin, Sanjar Shaakhmedov (88′ Thierry Bin), Abd Malik Ariff (72′ Khairul Izuan), Tchetche Kipre (81′ Syamim Yahya)