Shinji Okazaki sah akan meninggalkan Leicester City selepas tamat saingan Liga Inggeris musim ini. Pemain kelahiran Jepun itu adalah salah seorang anggota utama The Fox yang mencipta sejarah mengejutkan dunia bola sepak dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/16.
Okazaki akan meninggalkan Stadium King Power sebagai pemain ejen bebas – setelah kontrak selama empat tahun bersama kelab itu tamat pada akhir musim ini.
Pemain antarabangsa Jepun yang berusia 33 tahun pada hari ini adalah watak popular di kalangan rakan sepasukan, tiba dari Mainz dengan harga £7.5 juta pada 2015.
Beliau tampil dalam 30 perlawanan untuk skuad kendalian Claudio Ranieri yang menjulang Leicester bergelar juara EPL, dan menjaringkan tiga gol pada musim tersebut.
Namun kini peluang untuk beraksi di dalam kesebelasan utama semakin tipis buat Okazaki. Huddersfield cuba membida pemain tersebut dengan nilai £200,000 pada Januari lalu, namun beliau memilih untuk menghabiskan sisa baki kontrak bersama Leicester.
Pengurus Leicester, Brendan Rodgers dikatakan telah berbincang dengan penyerang tersebut, namun Okazaki dikatakan memilih untuk mencari arah baharu untuk beraksi lebih kerap menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar.
Keputusan Okazaki bermakna beliau akan menyertai nama-nama lain yang pernah beraksi bersama pada musim 2015/16 meninggalkan Leicester seperti Riyad Mahrez, N’Golo Kante, Danny Drinkwater, Robert Huth, Leonardo Ulloa, Jeff Schlupp dan Ritchie de Laet.
Dua lagi pemain dari skuad 2015/16, iaitu Danny Simpson dan Christian Fuchs juga akan menyaksikan kontrak masing-masing tamat pada penghujung musim. Masa depan kedua-dua pemain juga masih samar buat ketika ini.
Kapten pasukan, Wes Morgan pula telah menandatangani lanjutan kontrak satu tahun pada bulan lalu.