Para peminat bolasepak, masihkah kalian mengingati nama Shahrul Igwan Samsudin?
Ya, bekas pemain utama skuad Harimau Muda yang pernah membawa cabaran skuad bawah umur Negara itu ke pelbagai kejohanan masih lagi mencari rentak dan ruang yang sesuai untuk menggegar arena bolasepak Malaysia.
Selepas program Harimau Muda dibubarkan pada tahun 2015, Shahrul Igwan terus dipancing oleh pasukan Negeri Sembilan untuk memperkuatkan pasukan itu mengharungi cabaran Liga Perdana musim itu.
Selepas membuat 16 penampilan bersama pasukan selatan tanahair itu, khidmatnya terus ditagih oleh pasukan The Red Giants pada musim 2018 dan panggilan untuk memperkuatkan negeri kelahirannya, Kedah pada musim lalu ibarat satu peluang yang dinantikan.
Namun seperti ada yang tidak kena, aksi anak jati Alor Setar ini langsung tidak di dambakan oleh pengendali Helang Merah, Aidil Shahrin. Biarpun dikhabarkan mempamerkan prestasi baik ketika pra musim, Shahrul langsung tidak diturunkan sepanjang musim 2019, sehinggalah ramai yang seakan melupakan watak dan kelibat pemain tengah ini.
Ibarat mendapat satu talian hayat yang baharu pada musim 2020, Shahrul Igwan berjaya memikat pihak kejurulatihan UiTM FC yang diketuai oleh Frank Bernhardt. Hadir dengan reputasi pernah menyarung jersi dua pasukan gergasi bolasepak tempatan, Selangor dan Kedah, ianya bukan jaminan mudah untuk Shahrul diserap dalam kesebelasan utama pasukan bergelar The Lions Troops ini.
Sedar perlu berkerja lebih keras untuk memikat hati Frank Bernhardt dan pembantunya Wan Mustafa, pemain berusia 26 tahun ini tetap bersyukur setelah mendapat peluang untuk kembali beraksi di atas padang dan kembali merasai nikmat persaingan Liga Super, selepas diturunkan selaku pemain gantian ketika perhitungan menentang Melaka dan Johor Darul Takzim tempohari.
Lantas, perlawanan bertemu Kedah pada Rabu ini di Stadium UiTM Shah Alam diharap bakal menjadi medan terbaik buat Shahrul untuk kembali mendapat tempat dalam pasukan dan seterusnya membantu UiTM FC meraih tiga mata pertama liga.
Meskipun mengakui ianya bukan tugas mudah, apatah lagi pasukan lawan juga terdesak untuk meraih mata selepas turut tewas dua perlawanan awal liga, Shahrul tetap optimis rakan sepasukannya mampu kekal fokus dan meningkatkan momentum prestasi mereka,
apatah lagi selepas memberi cabaran yang sengit kepada penyandang juara, Johor Darul Takzim pada perlawanan lepas.
Diturunkan selaku kesebelasan utama atau bakal sekali lagi membuat penampilan sebagai supersub, pertemuan menentang bekas pasukan, mungkin ini masa yang tepat buat bekas pemain Harimau Muda ini mencipta nama di liga Malaysia.
Kredit foto: UiTM FC