Penjaga gol Kedah, Mohd Shahril Saa’ri yang mencuri tumpuan susulan persembahan meyakinkan pada aksi Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2020 menentang FC Seoul tempoh hari nyata tidak mahu leka dengan pujian diberikan kepadanya.
Sebaliknya, penjaga gol berusia 29 tahun itu mahu terus fokus bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2020 yang akan membuka tirainya pada 29 Februari ini, menyaksikan Kedah akan berdepan juara Liga Super enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim bagi merebut Piala Sumbangsih.
Meskipun tumbang 1-4 pada aksi di Stadium Piala Dunia Seoul, Shahril berjaya menyelamatkan kira-kira 15 percubaan tepat ke arah gol yang dilancarkan barisan serangan yang diketuai Park Chu-young dan Park Dong-Jin itu.
Menurut sumber Berita Harian Online, Shahril mengakui beliau perlu lebih bekerja keras serta tidak hilang fokus dengan pujian para penyokong skuad Lang Merah itu.
“Saya tak boleh leka dengan pujian diterima kerana sekarang masih di peringkat awal dan pada tahun ini saya masih lagi perlu bersaing bersama-sama penjaga gol lain yang ada sekarang.”
“Bagi saya penampilan di ACL yang lalu adalah bonus kepada saya dan perlu terus bekerja keras untuk tampil dengan lebih baik lagi di masa depan.”
“Jadi tiada sebab untuk saya mendabik dada atau membangga diri walaupun menerima banyak pujian dari penyokong kerana ia boleh melalaikan dan mungkin boleh hilang fokus,” ujar pemain kelahiran Terengganu itu.
Dalam pada itu, Shahril yang pernah beraksi bersama Sarawak, PKNS FC dan PDRM mengakui beliau amat menghormati penjaga gol utama Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
“Bagi saya Ifwat masih lagi seorang penjaga gol yang sangat saya hormati sebab saya tahu corak permainan dia yang bagus dan ‘steady’ dengan pengalaman luas dilaluinya sebelum ini.
Selain Shahril dan Ifwat, Kedah turut mempunyai dua lagi penjaga gol berpotensi besar yang mampu untuk memberikan saingan sengit di posisi tersebut iaitu Azri Abd Ghani dan Asri Muhamad.
Kredit foto: FA Kedah