Adakah sentuhan tajam Shahrel Fikri Md Fauzi sudah kembali? Boleh dikatakan selepas menyertai Nakhon Ratchasima FC di Thai League 1 secara pinjaman pada Jun 2018, sentuhannya agak merosot.
Dalam aksi liga bersama Nakhon Ratchasima, Shahrel Fikri yang membuat 10 penampilan telah berhasil meledak satu gol dan satu lagi gol telah dihasilkannya dalam Thai League Cup 2018.
Berbanding ketika mengetuai skuad PKNP FC yang kini dikenali sebagai Perak II, dalam tempoh tiga tahun (2016 – 2018), penyerang berusia 25 tahun itu telah berjaya menghasilkan lebih 40 gol.
Kembali semula ke Perak secara pinjaman daripada PKNP FC pada musim lalu, kelibatnya di dalam padang telah jarang kelihatan dan hanya berjaya merekodkan dua gol sepanjang musim.
Untuk pra-musim kali ini, dalam dua perlawanan persahabatan di Singapura, nama Shahrel Fikri telah kembali sebagai penjaring gol buat Perak. Menariknya, salah satu merupakan jaringan hatrik.
Perak pada ketika ini sedang berada di Singapura untuk aksi persahabatan dan telah menentang dua pasukan Singapore Premier League (SPL), iaitu Geylang International FC dan Balestier Khalsa FC.
Untuk aksi menentang Geylang International FC, Shahrel Fikri telah muncul wira dengan ledakan hatriknya untuk membantu The Bos Gaurus menjinakkan The Eagles empat gol tanpa balas.
Sebelum itu, dalam aksi pertama menentang Balestier Khalsa FC, Perak memerlukan jaringan Shahrel Fikri di minit ke-89 untuk berjaya mengikat pasukan tercorot SPL 2019 itu dengan keputusan 1-1.
Setakat ini, anak didik Mehmed Durakovic sudah melalui tiga aksi persahabatan, pertama menentang Pulau Pinang pada 28 Januari yang lalu yang menyaksikan Perak tunduk 0-2 kepada Harimau Kumbang.
Selepas ini, Perak akan turun menentang Kedah dalam perlawanan Unity Shield edisi kedua pada 15 Februari di Stadium Perak. Edisi pertama lalu dimenangi Kedah dengan keputusan 2-0 di Alor Setar.
Sentuhan konsisten Shahrel Fikri ini seakan-akan mampu memberi jaminan buatnya untuk kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama namun, adakah ia mampu meyakinkan Mehmed Durakovic?
KREDIT FOTO: PERAK TBG