Masih ingatkah zaman kegemilangan pasukan Perlis suatu ketika dahulu? Ia adalah zaman di mana Perlis dianggap sebagai pasukan gergasi Liga Malaysia dan telah meraih pelbagai kejuaraan di peringkat domestik.
Laporan akhbar tempatan, Berita Harian semalam mendedahkan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim memberi bayangan mahu mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Hampir 10 tahun kita hilang, sudah tiba masanya kita kembali menggegarkan arena bola sepak negara.
“Saya tahu ketika ini PFA mempunyai masalah kewangan dan presidennya (Ir Shaharuddin Ismail) ada berjumpa saya meminta tolong dan saya akan membantunya,” katanya.
Skuad Singa Utara ketika zaman Shahidan Kassim menerajui PFA diperkuatkan oleh 2 penyerang import berbisa dari Zambia iaitu Phillimon Chipeta dan Zacharia Simukonda.
Musim ini PFA dilanda musibah dan berdepan masalah kewangan selepas sebuah syarikat korporat menarik diri pada saat akhir daripada menaja pasukan itu.
Hal ini menyebabkan pemain dan barisan jurulatih pasukan itu mengalami masalah pembayaran gaji. Presiden PFA ketika ini, Ir. Shaharuddin Ismail berusaha mencari jalan penyelesaian dan memohon bantuan beberapa pihak termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
“PFA telah berbincang dengan banyak pihak dalam menyelesaikan masalah ini dan kami juga memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana kita semua tahu bola sepak diminati seluruh rakyat Perlis,” kata Ir. Shahruddin kepada Sinar Harian.
“Masalah ini timbul apabila pihak yang berjanji menarik diri sedangkan mereka sepatutnya menjadi penaja utama yang mampu menampung perbelanjaan PFA untuk sepanjang musim ini,” katanya
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada sedia menjadi Presiden PFA semula, Shahidan enggan mengulas.
“Setakat ini saya mahu membantu rakan (Presiden PFA) dulu. Tunggu lepas PRU nanti,” katanya.
Mengikut rekod, ketika PFA di bawah kendalian Shahidan, skuad Singa Utara telah raih gelaran juara Piala Malaysia 2 kali pada tahun 2004 dan 2006 serta pernah menjuarai Liga Super pada tahun 2005.