6 Pemain Bolasepak Terkenal Yang Pernah Mengalami Kecederaan Metatarsal

metatarsal

Metatarsal merujuk kepada lima tulang panjang yang terletak dibahagian pertengahan telapak kaki manusia. Lima bahagian tulang tersebut saling berkaitan dalam satu unit.

Fungsinya untuk mengawal kestabilan beban tubuh manusia supaya dapat berdiri pada tanah yang rata mahupun tidak rata.

Kecederaan pada bahagian tulang ini boleh terjadi jika bahagian tersebut mengalami keretakan atau kepatahan seperti misalnya apabila seseorang memijak, melakukan terjahan atau bentesan pada kaki mangsa.

Dalam bolasepak, kecederaan metatarsal ini memang bukan sejenis kecederaan yang sering dialami oleh pemain bolasepak. Berita mengenai kes kecederaan ini kurang terjadi kepada para pemain profesional, berbanding kecederaan bahagian lutut, pergelangan kaki, atau kecederaan otot (hamstring).

Kecederaan metatarsal ini merupakan kecederaan paling ditakuti oleh setiap pemain bolasepak selain kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament).

Sebenarnya ramai bintang-bintang bolasepak terkenal di dunia pernah mengalami kecederaan tersebut.

Terbaru, seperti yang kita ketahui, apa yang telah berlaku kepada Neymar ketika bertemu Marseille penghujung bulan Febuari lalu merupakan sesuatu yang sungguh malang bagi kariernya.

1. David Beckham ( 2002 )

Beckham mengalami kecederaan dibahagian metatarsal ketika perlawanan Manchester United bertemu Deportivo La Coruna dalam perlawanan suku akhir kedua saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford itu, pemain Deportivo La Coruna, Aldo Duscher telah melakukan terjahan keras terhadap Beckham pada minit ke-16 perlawanan.

Ketika itu, skuad England dalam persiapan pasukan menjelang temasya Piala Dunia 2002 yang akan berlangsung di Korea Selatan-Jepun dua bulan lagi.

Ketua pasukan England itu pada mulanya dilapor terpaksa melupakan impiannya untuk membantu England dalam kejohanan kali ini.

Tetapi Beckham bernasib baik kerana beliau hanya mengambil tempoh selama 8 minggu sahaja untuk kembali beraksi diatas padang dan beliau kembali terpilih untuk mewakili England dalam kempen Piala Dunia 2002.

Dalam edisi tersebut, Beckham telah berjaya menjaringkan satu gol dan membantu pasukannya itu layak sehingga peringkat suku akhir sebelum mereka tewas keatas Brazil 1-2 di Stadium Shizuoka, Fukuroi.

2. Gary Neville ( 2002 )

Gary Neville mengalami kecederaan metatarsal ketika pasukannya, Manchester United melayan kunjungan Bayern Leverkusen dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim 2001/02.

Dalam perlawanan peringkat separuh akhir pertama itu, Gary Neville telah menerima terjahan dari pemain Bayern pada minit ke-18.

Penyokong menjangkakan kecederaan serius yang dialami Neville itu bakal membuatkan nama beliau terpaksa digugurkan dalam senarai pemain untuk mewakili England pada kempen Piala Dunia 2002.

Sama seperti Beckham, kecederaan yang dialami Neville bakal merencatkan karier antarabangsanya. Sir Alex Ferguson juga terpaksa mengetepikan khidmatnya bersama pasukan untuk saingan liga mahupun di peringkat Eropah.

Nasib Neville tidak seperti Beckham. Walaupun Neville telah berusaha sedaya upaya untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum menjelang tarikh bermulanya kejohanan Piala Dunia.

Beliau terpaksa akur dan melupakan hasratnya itu selepas mendapat pengesahan dari doktor bahawa kecederaan metatarsal yang dialaminya itu tidak dapat dipulihkan dalam waktu terdekat.

3. Lionel Messi ( 2006 )

Sebelum nama Lionel Messi dikenali umum sebagai pemain terbaik dunia, bintang Barcelona kelahiran Argentina ini pernah mengalami detik-detik hitam dalam kariernya apabila beliau terlibat dalam satu rempuhan keras oleh dua pemain Real Zaragoza, iaitu Alberto Zapater dan Albert Celades.

Rempuhan itu mengakibatkan beliau mengalami kecederaan metatarsal yang serius pada tahun 2006. Menurut laporan, tulang metatarsal kelima di sebelah kaki kiri Lionel Messi mengalami keretakan.

Akibat kejadian tersebut, Lionel Messi terpaksa berehat selama tiga bulan, sekaligus memaksa beliau disisihkan dari skuad kebangsaan Argentina untuk kempen Piala Dunia 2006 yang berlangsung di Jerman.

5. Wayne Rooney ( 2006 )

Manchester United dan England tidak pernah berhenti dari detik-detik cemas dari pemain mereka saat menjelangnya Piala Dunia.

Selepas Beckham dan Neville, tiba pula giliran Wayne Rooney untuk menghadapi detik-detik ngeri dalam kariernya.

Pada tahun 2006, Rooney telah mengalami kecederaan metatarsal ketika beraksi dalam satu pertembungan seteru Premier League diantara Manchester United menentang Chelsea.

Pemain Chelsea, Paulo Ferreira melakukan terjahan di luar kotak penalti ketika Rooney melakukan serang balas pasukan.

Dalam satu temubual Skynews bersama Dr. Mosaraf Ali, beliau memaklumkan bahawa Rooney mengalami keretakan dibahagian tulang keempat metatarsalnya dan hal ini membuatkan beliau bakal tersisih dalam skuad Three Lions bagi kejohanan Piala Dunia 2006.

Namun, Rooney bernasib baik kerana beliau kembali pulih dalam masa yang singkat sekaligus berjaya terpilih untuk memperkuatkan pasukan England bagi kejohanan tersebut.

Namun demikian, meskipun mendapat panggilan semula menyertai kem kebangsaan, Rooney tidak dapat beraksi pada perlawanan pertama menentang Paraguay.

Rooney disenaraikan dalam skuad untuk menghadapi pertemuan kedua kumpulan B menentangTrinidad & Tobago.

5. Gabriel Jesus ( 2017 )


Penyerang muda berasal Brazil ini mengalami kecederaan metatarsal ketika menghadapi Bournemouth pada 13 Februari 2017.

Pada ketika itu, prestasi Gabriel boleh dikatakan berada dalam situasi yang terbaik bersama Manchester City.

Akibatnya, Gabriel terpaksa disisihkan oleh pengurus pasukan Pep Guardiola sehingga April 2017. Namun, beliau masih bernasib baik kerana menggunakan sebuah alat terapi yang telah berjaya membantunya untuk sembuh dengan lebih cepat.

Difahamkan, Gabriel terpaksa bergantung kepada alat tersebut yang diberi nama “Exogen Ultrasound Bone Healing System” sepanjang hari.

Sejak menjalani operasi untuk penyembuhan kecederaan metatarsalnya pada 16 Februari 2017, Gabriel sama sekali tidak pernah terlepas mengantung harap dari alat tersebut.

Sekurang-kurangnya beliau perlu mengambil masa selama 20 minit bagi setiap hari untuk mengunakan alat tersebut.

Selama dua bulan menderita metatarsal, akhirnya Gabriel dapat kembali semula menjalani latihan bersama pasukannya pada awal April 2017.

6. Neymar ( 2018 )

Neymar yang mengalami kecederaan metatarsal akan tersisih selama kira-kira enam minggu selepas dipalit kecederaan ketika aksi Ligue 1, tempoh hari yang menyaksikan Paris Saint Germain (PSG) mencatat kemenangan 3-1 ke atas musuh tradisi, Marseille.

Ketika perlawanan tersebut, dapat dilihat, pemain Brazil itu terpaksa menahan kesakitan dan mengalirkan air mata apabila dikeluarkan dari padang di Parc de Princes.

Kecederaan yang dihadapi Neymar menyebabkan beliau terlepas untuk beraksi pada pertemuan Liga Juara-Juara dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Laporan memaklumkan bahawa, rawatan untuk kecederaan yang dialami Neymar bakal mengambil masa selama enam ke lapan minggu untuk pulih sepenuhnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN