Turun selaku pilihan utama Selangor Champions League 2017, Shah Alam Antlers memulakan kempen mereka dengan sedikt kekecewaan setelah sekadar seri tanpa jaringan menentang pasukan Protap FT di Stadium Panasonic Shah Alam semalam meskipun menurunkan pemain-pemain utama mereka.
Babak separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan baik dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan.
Antlers namun tampak lebih selesa mengawal perlawanan dan pantas menutup ruang pihak lawan apabila mereka hilang bola sekaligus menyukarkan Protap untuk melancarkan serangan.
Namun dengan kelicikan dan kepantasan pemain penyerang mereka, Razzmir Ashraff Razzin, sesekali berjaya meloloskan diri tetapi pantas ditutup pemain pertahanan Antlers, Obi Vincent Iyke yang juga merupakan pemain terbaik perlawanan semalam.
Barisan pertahanan Protap juga bijak menahan tekanan bertali arus daripada barisan serangan Antlers yang diketuai Oluwatobi Ibironke.
Bermain dihadapan penyokong sendiri, entah kenapa Antlers sedikit sukar mendapatkan gol seolah-olah mereka sedikit terganggu dengan tekanan yang diberikan oleh penyokong merekea sendiri.
Masuk babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan mula memperlahankan sedikit tempo permainan dan kerap melakukan hantaran yang lebih berhati-hati.
Setelah hampir 10 minit berlalu, Protap mula bermain secara bertahan dan melancarkan ‘counter attack’ melalui larian-larian berbahaya daripada Razzmir namun sekali lagi kesefahaman di antara penjaga gol dan juga barisan pertahanan Antlers yang baik berjaya mematahkan serangan tersebut.
Sedang Antlers ghairah melakukan serangan untuk mendapatkan gol, mereka dikejutkan dengan layangan ‘straight red card’ daripada pengadil ke atas pemain pertahanan kanan mereka, Aiman Sirajuddin atas kekasaran beliau ke atas pemain Protap pada minit ke-47 perlawanan.
Selang 12 minit kemudian, satu lagi kad merah dilayangkan kali ini kepada pemain Antlers iaitu Firdaus Selvam Abdullah setelah mengasari pemain pertahanan Protap dan dilayangkan kad kuning kedua sekaligus terpaksa akur bermain 9 orang.
Meskipun bermain hanya 9 orang, Protap gagal menggunakan kelebihan tersebut malah Antlers mempunyai penguasaan bola yang lebih banyak sehinggalah wisel penamat dibunyikan yang berkesudahahan 0-0.