Shah Alam Antlers mencipta kemenangan pertama dalam musim sulung di Klang Valley League (KVL) selepas menewaskan KRU FC 3-0 di Antlersland semalam.
3 gol Antlers dijaringkan oleh kapten kita, Ahmad ‘Adam’ Shahidan, Fitry Johary dan Firdaus ‘Paneer’ Selvam.
Dari segi penguasaan bola, kedua-dua pasukan agak seimbang. Tetapi Antlers jauh lebih berbahaya ketika menyerang. Manakala jentera serangan KRU FC tiada jawapan berhadapan dengan persembahan cemerlang pertahanan tengah Antlers, Nicholas Chan.
Berpasangan dengan Sathiskumar di pertahanan tengah, Nicholas bertanggungjawab menghadkan sepakan ke arah gol KRU kepada satu sahaja sepanjang 75 minit perlawanan.
Bagaimanapun persembahan cemerlang pertahanan dan serangan Antlers dicemari dengan insiden luar padang dan kekasaran di atas padang.
Antlers cari kemenangan
Selepas sekadar seri 1-1 dengan Ingress Tigers, Shah Alam Antlers perlu mengutip 3 mata untuk menggembirakan kira-kira 500 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan.
Penjaring gol tunggal Antlers ketika menentang Ingress Tigers, Mohd Fairuz tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini. Tempat beliau digantikan oleh Nicholas Chan.
Nicholas ternyata membalas kepercayaan ketua jurulatih, G. Muthu apabila beberapa kali menyelamatkan pasukan dengan bentesan bersih dan pintasan hantaran. Terutama sekali ketika jentera tengah kita masih bergelut menyesuaikan diri.
Firdaus Selvam adalah antara pemain yang bergelut pada separuh masa pertama. Hanya 18 minit bermain, Muthu mengeluarkan beliau dan memasukkan pemain berusia 17 tahun, Fitry Johari.
Perubahan ini membuahkan hasil. 5 minit kemudian, jentera tengah Antlers kembali berfungsi dengan baik. Hasilnya kita mendapat gol pendahuluan jaringan kapten Adam hasil gerakan cantik sayap kanan.
Antlers gah di separuh masa kedua
Pada separuh masa kedua, Firdaus Selvam kembali dimasukkan. Barangkali mahu membuktikan sesuatu kepada Muthu, Firdaus mempertingkatkan mutu persembahannya.
15 minit selepas separuh masa kedua bermula, Firdaus terlibat dalam gerakan sayap kanan yang menghasilkan gol ke-2 Antlers. Gol tersebut dijaringkan oleh Fitry Johari.
6 minit kemudian, Firdaus terlibat sekali lagi dalam satu gerakan gol Antlers. Kali ini beliau bertindak sebagai penyudah.
Berpunca dari gerakan sayap kanan (sekali lagi) dan kreativiti hantaran Adam, Firdaus menyudahkan hantaran Adam dengan satu tampanan menarik – meskipun dikawal ketat oleh pertahanan KRU.
Insiden panas di atas padang
Dengan kedudukan 3-0, Antlers mengendurkan sedikit tempo permainan pada separuh masa ketiga.
KRU cuba menyerang bertubi-tubi. Tetapi pertahanan Antlers yang diketuai Nicholas Chan nyata ampuh. Barangkali ‘dirasuk’ semangat Soh Chin Aun, Nicholas mempamerkan persembahan defensif yang berinspirasi.
Keampuhan Antlers membuatkan pemain KRU sedikit agresif dan mula hilang disiplin pada separuh masa ketiga sehinggakan salah seorang pemain mereka dilayang kad merah.
Selepas ini Antlers akan bertemu Dataran FC di Antlersland pada 7 Januari 2016.
Pemain terbaik perlawanan: Nicholas Chan
Statistik perlawanan