Quantcast

KAJIAN & FAKTA

6 Jenis Latihan Untuk Tingkatkan Kekuatan ‘Weaker Foot’ Anda

Dalam bola sepak, weaker foot adalah sama penting dengan kaki dominan anda ketika bermain.

Hal ini penting untuk memastikan seseorang pemain itu boleh melakukan hantaran atau rembatan dari mana saja dan tidak perlu terlalu bergantung kepada kaki dominan sahaja.

Pemain seperti Santi Carzola dan Ryan Giggs antara contoh 2 pemain yang mempunyai kebolehan menggunakan kedua-dua kaki mereka dengan baik.

Oleh itu, tips kali ini adalah mengenai cara untuk memperbaiki weaker foot anda!

Latihan awal

Sebagai permulaan kepada latihan, adalah perlu untuk anda memanaskan badan dan terlebih dahulu dan disusuli dengan joging selama 2 minit.

Selepas itu, lakukan regangan yang bersesuaian yang memfokuskan bahagian betis, buku lali, lutut dan juga pinggul.

Tips ini bertujuan untuk memastikan anda tidak mendapat kecederaan sewaktu latihan dan juga memaksimakan hasil latihan.

Menimbang bola

Selepas memanaskan badan, lakukan latihan ringan dengan menimbang bola menggunakan weaker foot anda.

Caranya adalah dengan membaling bola pada paras pergelangan tangan anda, biarkan ia melantun sekali ke tanah dan kemudiannya anda cuba menimbang bola tersebut menggunakan weaker foot anda.

Lakukan latihan ini selama 5 minit dan tingkatkan masa latihan sebaik saja anda semakin mahir dengan latihan ini.

Begitu juga dengan lantunan yang kami katakan tadi, jika anda sudah semakin mahir anda boleh mulakan latihan tanpa perlu melantunkan bola itu ke tanah.

Dan janga lupa, lakukan di ruangan yang kosong supaya ia tidak menggangu orang lain serta anda boleh fokus 100% kepada latihan ini.

Meningkatkan kawalan

Untuk memastikan bola mudah ‘lekat’ pada weaker foot anda, tips ketiga ini adalah untuk anda.

Latihan ini adalah latihan dimana anda menyentuh bola dengan bahagian luar kaki dan kemudiannya menukar pula kepada bahagian dalam kaki. Ulang disiplin ini beberapa kali untuk meningkatkan tahap kawalan bola pada weaker foot anda.

Latihan ini ibarat anda melakukan gerakan skil flip flap. Namun dalam tempo yang perlahan.

Latihan menghentikan bola

Tips untuk meningkatkan sentuhan pertama anda pada weaker foot, anda boleh lakukan latihan dengan melambungkan bola dan kemudiannya cuba memberhentikan bola di bahagian jari kaki.

Pada permulaan latihan, anda akan mengalami sedikit masalah untuk berjaya dalam latihan ini kerana bola mungkin akan pergi ke tempat lain ketika anda sedang melakukan latihan ini.

Namun lakukan sehingga anda biasa dan mahir dengan teknik ini. Sesudah mahir, cabar diri anda dengan membaling bola ke dinding supaya menghasilkan lebih banyak cabaran kepada latihan ini.

Menghantar bola

Untuk latihan hantaran, gunakan dinding sebagai ‘rakan’ latihan anda. Hantar bola kepada dinding dengan menggunakan kaki dalam atau luar anda – terpulang kepada kemahuan anda.

Apabila semakin mahir, tambah sedikit cabaran kepada latihan hantaran anda  dengan beberapa cabaran seperti:

  • Melajukan latihan dengan meningkatkan tempo hantaran
  • Menghantar bola dengan tidak lebih dari 2 kali sentuhan
  • Hantar bola ke sasaran tertentu untuk tingkatkan ketepatan hantaran

Latihan rembatan

Latihan rembatan merupakan latihan yang paling sukar dalam disiplin untuk meningkatkan weaker foot anda.

Oleh itu, adalah penting untuk anda menguasai 5 latihan awal yang kami beritahu kepada anda sebentar tadi.

Untuk latihan rembatan, cari ruang kosong yang tidak ada objek mudah pecah berdekatan dengan kawasan tersebut untuk melakukan rembatan.

Sediakan sasaran dengan menggunakan kon, botol air ataupun tiang gol untuk anda rembat bola ke sasaran tersebut.

Lakukan rembatan dengan merembat ke sasaran yang telah anda sendiri tetapkan. Gunakan bahagian kaki di kawasan tali kasut untuk dapatkan kuasa rembatan yang semaksima mungkin.

Dalam latihan ini, tetapkan fokus anda untuk dapatkan rembatan sekencang boleh serta ketepatan rembatan yang paling baik.

Secara kesimpulannya, untuk memperbaiki weaker foot anda ia memerlukan latihan yang beterusan.

Lakukannya secara kerap dan anda akan mampu untuk menyepak bola dengan kedua-dua kaki dengan baik, semoga berjaya!

Baca juga: Tips Untuk Jadikan Rembatan Anda Lebih Padu & Kencang