Sevilla Terus Berkuasa, Muncul Juara Liga Europa 2019/20

Sevilla Liga Europa

Sevilla terus membuktikan gelaran mereka selaku ‘King of Europa League’ apabila menjulang trofi Liga Europa (UEL) buat kali keenam selepas mengenepikan cabaran Inter Milan 3-2 pada aksi final yang berlangsung sebentar tadi.

Kejuaraan cukup bermakna ini juga menyaksikan Sevilla telah memenangi kesemua enam aksi final dalam kempen Liga Europa yang dihadapi bermula musim 2005/06, 2006/07, 2013/14, 2014/15, 2015/16 dan yang terbaharu 2019/20.

Ia sekaligus menjadikan Sevilla sebagai pasukan yang paling banyak menjuarai saingan tersebut manakala Inter Milan pula terlepas peluang untuk memenanginya buat kali keempat.

Aksi 45 minit pertama di RheinEnergieStadion, Cologne itu jelas begitu menghiburkan apabila empat jaringan berjaya dihasilkan yang mana tiga daripada gol tersebut menjelma menerusi tandukan.

Inter Milan bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila peledak utama, Romelu Lukaku menyempurnakan sepakan penalti seawal minit kelima selepas beliau dikasari pemain pertahanan, Diego Carlos dalam kawasan penalti.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Sevilla yang dibimbing Julen Lopetegui tampil dengan lebih kemas dan tidak menunggu lama untuk kembali mengikat kedudukan menerusi Luuk De Jong.

Penyerang yang menghancurkan harapan Manchester United pada aksi separuh akhir itu menanduk masuk bola hasil hantaran lintang cantik dilakukan kapten Jesus Navas bagi menewaskan penjaga gol Inter Milan, Samir Handanovic pada minit ke-12.

Handanovic terus diuji berselang tiga minit kemudian susulan rembatan dari luar kawasan penalti diledakkan Lucas Ocampos, beliau bagaimanapun tidak berdepan masalah untuk menangkap kemas percubaan tersebut.

De Jong sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila pemain skuad kebangsaan Belanda itu berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil Ever Banega pada minit ke-33 untuk Sevilla pula berada di hadapan.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama dua minit selepas Diego Godin pula menggunakan kesempatan susulan sepakan percuma yang diberikan dengan menanduk masuk bola hasil hantaran Marcelo Brozovic.

Ocampos hampir kembali memberikan kelebihan buat wakil dari Sepanyol itu tetapi tandukannya pada masa kecederaan selepas menerima umpanan Banega digagalkan Handanovic untuk aksi separuh masa pertama berkesudahan 2-2.

Perlawanan bersambung menyaksikan kedua-dua pasukan dilihat begitu bekerja keras untuk memburu jaringan dengan mengasak kubu lawan masing-masing.

Inter Milan hampir berjaya melakukannya pada minit ke-65 tetapi penjaga gol, Yassine Bounou lebih tangkas untuk menafikan percubaan Lukaku dengan menggunakan kakinya dalam situasi ‘satu lawan satu’ setelah Lukaku sudah melepasi kawalan pertahanan Sevilla.

Situasi ‘set-piece’ terus menjadi kelebihan buat Sevilla apabila Diego Carlos melakukan percubaan akrobatik yang terus menerjah gawang Inter Milan tanpa mampu dihalang Handanovic untuk Sevilla sekali lagi di hadapan pada minit ke-74.

Kelihatan percubaan menarik daripada pemain pertahanan tengah kelahiran Brazil itu terkena kaki Lukaku yang cuba membantu jentera pertahanan ketika situasi bola mati tersebut.

Sedar hanya jaringan penyamaan yang mampu menghidupkan kembali peluang mereka, anak buah Antonio Conte menggandakan asakan dengan melakukan beberapa serangan ke kubu Sevilla.

Pemain gantian, Alexis Sanchez terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila tolakannya diselamatkan oleh Jules Kounde di atas garisan gol untuk menggagalkan peluang keemasan itu.

Kedudukan 3-2 itu kekal hingga tamat permainan sekaligus memberikan peluang buat Sevilla untuk membawa pulang trofi Liga Europa ke Ramon Sanchez Pizjuan Stadium buat kali keenam.

Kredit featured image: Martin Meissner/Pool via Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN