Bekas pemain Chelsea, Claude Makelele memuji rakan senegaranya dan juga tonggak utama Chelsea ketika ini, N’Golo Kante diatas prestasi yang sangat memberangsangkan ditunjukkan pemain tersebut sejak menyertai The Blues daripada Leicester City pada awal musim lalu.
Pemain bertubuh kecil itu berjaya menjadi watak utama buat Chelsea ketika menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan turut memainkan peranan yang cukup baik dalam mencipta kejutan membawa Leicester City pada musim 2015/16.
Kredibiliti yang ditunjukkan Kante membuatkan Antonio Conte memilih untuk mendapatkan khidmatnya dan segalanya dibalas dengan prestasi yang cukup positif ketika ini di Chelsea.
Banyak pemerhati bola sepak juga membandingkan Makelele dan Kante dan mengatakan mereka berdua mempunyai persamaan ketika mengemudi pasukan Chelsea.
Bercakap kepada akhbar Evening Standard, Claude Makelele berkata: ”Dia menikmati apa yang sedang dilakukannya.”
”Dia beraksi untuk rakan sepasukannya. Dia juga bukan seorang pemain yang mementingkan dirinya sendiri. Semua pengurus dalam dunia ini mahukan pemain seperti ini dalam pasukan mereka.”
”Dia menghasilkan kualiti dalam corak permainan dan lariannya tetapi bukan hanya itu sahaja, dia juga melakukan kerja bertahan dengan baik.”
”Dia mempunyai segalanya untuk menjadikannya sebagai pemain tengah yang serba lengkap. Cukup sesuai dengan sistem yang digunakan oleh Antonio Conte di dalam padang.”
Makelele beraksi bersama Chelsea pada tahun 2003 hingga 2008, merupakan antara pemain utama ketika Chelsea meraih kejuaraan liga dan Piala FA pada musim 2004/05.
Chelsea akan melakukan kunjungan ke Selhurst Park bagi meneruskan aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu ini untuk bertemu pasukan bawahan, Crystal Palace.
Selepas mengalami kekalahan ditangan Manchester City di tempat sendiri, anak buah Antonio Conte sudah pastinya mahu menjadikan Palace sebagai mangsa kebangkitan mereka.