Tajaan kepada Kerteh FC dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP adalah antara inisiatif terkini Semuanya BOLA untuk kekal setia dengan ‘sentuhan’ terhadap bola sepak terutama di peringkat komuniti.
Kalau sudah namanya pun Semuanya BOLA, tentunya apa sahaja yang berkaitan dengan bola sepak akan cuba didekati oleh entiti tersebut.
Sebelum ini, seperti yang diketahui, portal yang sudah tertubuh sejak 2014 ini pernah terlibat di belakang tabir dalam melaporkan setiap aksi dan perlawanan Selangor Champions League (SCL) pada 2017 hingga 2019.
Kini, Semuanya BOLA kembali dengan memberi tajaan kewangan kepada sebuah kelab bola sepak komuniti yang kian mencuri tumpuan, Kerteh.
Selain itu, turut menerima tajaan adalah sebuah sekolah yang bersaing di peringkat MSSD di Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP.
Sebenarnya inisiatif dan usaha yang ditunjukkan oleh kelab yang pernah menjuarai saingan Liga M4 2019 itu sangat baik. Antara yang pernah mencuri tumpuan dilakukan mereka adalah menjadikan syarikat Carabao sebagai rakan kongsi serta telah diberi mandat oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk membangunkan Kerteh Sports City (KSC).
Selain itu, mereka juga menjual beras untuk menjana pendapatan kelab.
Ini yang menarik minat Semuanya BOLA untuk turut serta dalam projek yang diusahakan kerana melihat kepada semangat dan usaha mereka.
Malah, kelab tersebut pernah menerima pujian daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam.
Ini disebabkan usaha gigih yang ditonjolkan kelab yang berpangkalan di Terengganu itu membangunkan bola sepak terutamanya akar umbi.
“Saya mengikuti rapat kemajuan yang diperoleh mereka dan boleh saya katakan Kerteh melakukannya dengan tepat. Banyak perkara positif boleh diambil dari inovasi dan corak pengurusan kelab yang ditonjolkan Kerteh. Tahniah diatas hasil kerja yang cemerlang,” ungkap Stuart sekitar 2021.
Baru-baru ini, Kerteh telah mengumumkan beberapa penaja dan rakan strategik mereka yang terbaharu selain Semuanya BOLA iaitu syarikat penyedia statistik, Atlead Pass dan syarikat tempatan, Taman Rekreasi & Zoo Kemaman, Eryhimdac Enterprise, Kerteh Inn serta Kay Inn Kerteh.
Malah, mereka turut menjalin kerjasama bersama sebuah sekolah setempat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kerteh (SMK Kerteh) pada hari ini.
Affiliate Program ✅
Playing Football Manager in Real Life. 🤪 https://t.co/3JNfGhnjdO
— Adam Sariman (@AdamSariman) May 14, 2023
Ia adalah program gabungan yang mana sekolah tersebut akan menjadi rakan gabungan bersama Kerteh seperti mana inisiatif yang digerakkan oleh kelab-kelab utama Thailand bersama sekolah-sekolah setempat di sana.
Selain itu, Kerteh juga merupakan rakan gabungan bersama sebuah kelab di Barcelona, Sepanyol iaitu UE Sant Andreu yang telah mula dijalin pada 2020.
Dalam pada itu, Semuanya BOLA turut menunjukkan minat untuk bersama sebuah sekolah di Kuala Lumpur apabila berbesar hati memberi tajaan berupa dua set jersi kepada Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP.
Difahamkan sekolah tersebut ketika ini sedang dilatih oleh seorang guru yang juga merupakan jurulatih bertauliah untuk pembangunan akar umbi.
Diharapkan dua ‘sentuhan’ kecil Semuanya BOLA ini bakal menyemarakkan pembangunan akar umbi bola sepak komuniti dan negara umumnya.