‘Asal Barang Jadi Duit’ – Kerteh FC Jual Beras Pula Untuk Tingkatkan Pendapatan Kelab

Kerteh FC Beras

Kelab Bola Sepak Kerteh melancarkan produk beras Premium Super Import Cap Buah-buahan sebagai salah satu produk terbaharu kelab dengan jalinan kerjasama syarikat tempatan Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd.

Dalam majlis pelancaran ringkas tersebut diadakan di ibu pejabat syarikat kelab, KAL Services Sdn Bhd yang terletak di Kerteh wakil kedua-dua belah pihak telah menzahirkan rasa gembira dengan termeterainya kerjasama ini setelah perbincangan awal dilakukan sejak Oktober tahun lalu.

Dengan kerjasama ini, logo, warna rasmi dan elemen-elemen kelab bukan sahaja berada pada plastik bungkusan beras tetapi ianya juga akan turut diletakkan pada kenderaan pengangkutan seperti lori tangki dan kargo syarikat tersebut bagi tujuan iklan dan komersial. Manakala logo beras Cap Buah-Buahan pula akan diletakkan pada lengan jersi utama Kerteh FC.

“Pihak kami merasa yakin dengan kekuatan jenama Kerteh FC yang merupakan sebuah kelab yang sedang membangun serta mempunyai nilai komersial tambahan di pasaran apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama ketika ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd, Mohamad Adam Suffian Yacob.

“Sebelum ini pasaran beras cap buah-buahan kami hanyalah tertumpu di daerah Setiu, Besut, Bachok dan Pasir Putih sahaja. Dengan kerjasama bersama Kerteh FC ini, ianya dapat menambahkan lagi keyakinan kami bahawa kerjasama ini akan membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas capaiannya selepas ini.

“Memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak kini telah menjadi satu trend baharu kepada Industri Kecil dan Serdahana (IKS) di dalam negara ketika ini. Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Peminat dan penduduk Kerteh boleh merasai keenakkan Beras Super Premium Cap Buah Buahan di kedai-kedai runcit terpilih sekitar Kerteh, Kemasik dan akan berkembang lebih luas lagi selepas ini di daerah Kemaman dan Dungun.

Sementara itu, Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim berharap kerjasama bersama syarikat Yacob Tahir Enterprise ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan dengan memasarkan lebih banyak produk barangan asas lain lain seperti minyak masak, telur, garam dan sebagainya.

Selaku kelab bola sepak amatur, ‘The Oilers’ terus menjadi model terbaik atau penanda aras kepada penswastaan kelab di mana 100 peratus operasi pasukan diuruskan sepenuhnya oleh pemilik tanpa campur tangan pihak ketiga dan sama sekali tidak bergantung kepada kantung kerajaan.

Stuart Ramalingam Puji Inovasi Dan Pengurusan Cemerlang Kerteh FC

Ini bukanlah kali pertama Kerteh FC menjana pendapatan menerusi kaedah ini. Sebelum ini mereka turut mengeluarkan beberapa produk makanan dan minuman menerusi Kerteh FC F&B seperti maruku, kambing perap dan bahulu.

Selain itu, Kerteh FC turut mengadakan kerjasama dan kolaborasi dengan pelbagai syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti Gadis Baker, Kalislab, Kerepek Ralit dan Warung Pok Nong untuk mendapatkan keuntungan bersama menerusi produk yang dijual.

Leave a Reply