Teori Konspirasi Media Indonesia – ‘Ketiadaan VAR Rugikan Garuda, Untungkan Vietnam’

Sebuah portal online dari Indonesia, Superball bertanggapan ketiadaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) di kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura Disember ini hanya akan merugikan pasukan kebangsaan negara itu nanti.

Sebaliknya ketiadaan VAR dipercayai hanya akan memberikan kelebihan kepada pasukan lawan yang diundi bersama dalam Kumpulan B, khususnya Vietnam.

Selain Vietnam, turut diundi bersama di dalam Kumpulan B untuk kejohanan bola sepak dwitahunan peringkat serantau itu adalah Malaysia, Kemboja, dan Laos.

Teori konspirasi media Indonesia

Sudah tentu ada sebab mengapa ketiadaan VAR dianggap hanya akan merugikan skuad kebangsaan Indonesia di kejohanan Piala AFF kali ini. Semuanya berkisar kepada pengalaman lalu.

Keputusan untuk tidak menggunakan VAR di Piala AFF 2020 dipercayai tidak akan disenangi oleh Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong. Malah perkara itu pernah diluahkan oleh pengendali dari Korea Selatan itu secara terbuka sebelum ni.

Selepas berjaya bersaing dan mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Zon Asia menentang Thailand pada Jun lalu, skuad kendalian Shin Tae-yong dibelasah Vietnam dengan jaringan besar 4-0.

Mengulas keputusan tersebut, Shin Tae-yong mendakwa ketiadaan VAR membuatkan pengadil sering mengambil keputusan yang merugikan skuad Indonesia

Shin Tae-yong mengambil contoh gol pertama Vietnam jaringan Nguyen Tien Linh pada minit ke-51 tidak sepatutnya dibenarkan. Jaringan tersebut dianggap kontroversi kerana ia terlebih dahulu terkena tangan pemain itu.

“Jika analisis video (VAR) telah diperkenalkan, hasilnya akan sedikit berbeza,” tegas Shin Tae-yong selepas perlawanan.

Anehnya Shin Tae-yong dan media di sana lupa akan kekasaran dan bentesan keras dilakukan pemain mereka sehingga menyebabkan pemain Vietnam mengalami kecederaan.

Realitinya sejauh mana perbezaan hasil perlawanan tersebut jika VAR benar-benar digunakan, sukar untuk dilihat. Ini kerana Indonesia tetap dibelasah UAE dengan jaringan 5-0 pada perlawanan berikutnya.

Ketiadaan VAR untungkan Vietnam?

Beberapa insiden lain membabitkan pasukan Vietnam turut menjadi modal teori mengatakan skuad kendalian Park Hang-seo akan beruntung tanpa VAR.

Misalnya ketika Vietnam tewas 1-3 kepada Arab Saudi di pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 misalnya, Do Duy Manh dilayangkan kad kuning kedua setelah pengadil melakukan semakan VAR ke atas satu terjahan terhadap pemain lawan.

. (Photo by Fayez Nureldine / AFP) (Photo by FAYEZ NURELDINE/AFP via Getty Images)

Pemain sama turut dihukum dalam perlawanan seterusnya apabila VAR memberikan sepakan penalti kepada Oman selepas semakan semula dilakukan pengadil.

Insiden itu mendorong Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) menulis surat bantahan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana berpendapat VAR tidak adil bagi mereka.

Perang saraf sudah bermula?

Bagi pengamal media Indonesia, ketiadaan VAR hanya akan merugikan skuad Garuda, dan hanya akan menguntungkan pasukan lain seperti Vietnam di Piala AFF nanti.

Adakah dakwaan Superball ini hanya merupakan perang saraf yang sudah bermula menjelang sepak mula kejohanan pada 5 Disember hadapan?

Untuk rekod, Indonesia tidak pernah menjuarai Piala AFF Suzuki sejak ianya dipertandingkan pada 1996.

Leave a Reply