Seruan Dr Johan Tidak Konsisten Dengan Apa Yang Berlaku Pada Musim 2023

Bercakap mengenai seruan menghentikan keganasan, petikan kata Eleanor Roosevelt wajar dihayati. “Bercakap tetang keamanan sahaja tak cukup. Orang yang cakap itu mesti percaya dengan keamanan. Kemudian percaya sahaja tak cukup. Dia kena betul-betul buat.”

Petikan kata isteri Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt ini menyuruh kita untuk betul-betul menghayati keamanan melalui perbuatan. Bukan percakapan sahaja.

Dalam arena kepimpinan bola sepak Malaysia sekarang, suara yang menyeru supaya keganasan dihentikan – bergema dengan autoriti. Ia selayaknya perlu dihormati. Namun, apabila individu yang memimpin seruan tersebut terlibat dalam insiden yang bertentangan dengan nilai yang mereka utarakan, satu ketidakselarasan yang mengecewakan muncul.

CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan, merayu supaya keganasan dalam bola sepak dihentikan buat selama-lamanya. “Mari kita menolak keganasan daripada bola sepak. Bola sepak adalah untuk semua dan kita mahu memastikan semua orang dalam bola sepak berasa selamat dan juga merasakan bahawa mereka boleh bermain bola sepak dengan bebas. Tanpa takut apa-apa,” kata Johan kepada Malaysiakini.

Seruan vokal Dr. Johan menolak keganasan dalam bola sepak Malaysia ada meritnya. Lagipun salah satu mangsanya adalah pemain pasukannya sendiri. Mujur, insiden yang tak diingini ini tidak berlaku lagi (setakat ini dan harapnya selama-lamanya).

Perlu diingat, keganasan dalam bola sepak bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal, ia juga sepatutnya merangkumi makian lisan – sesuatu yang tidak asing bagi Dr. Johan. Mana-mana peminat bola sepak yang pernah duduk di kerusi grandstand halaman Selangor FC, berkemungkinan besar pernah mendengar makian beliau kepada pengadil. Lebih-lebih lagi jika keputusan tidak memihak Selangor FC.

Pada musim 2022, pengadil Zulkarnain Zakaria pernah menjadi mangsa serangan mulut Dr. Johan susulan keputusan seri pasukannya dengan JDT.

Apabila kepimpinan atas kelab sendiri gagal mengawal emosi, maka tak hairanlah ia turut diikuti oleh pegawai pasukan dan penyokong.

Pada September musim lepas, Selangor FC pernah didenda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah atas tiga kes keganasan. Ia berlaku semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ. Menurut kenyataan FAM, “Pertuduhan pertama insiden cermin belakang kereta pegawai perlawanan pecah kerana dilontar dengan sebiji batu semasa diletakkan di kawasan parkir berhadapan pentas utama stadium.

“Selain itu, satu insiden baling botol air yang datang dari kawasan tempat duduk penonton ke arah pegawai pertandingan (pertuduhan kedua).

“Selangor didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini itu berlaku selain insiden baling botol oleh pegawai Selangor FC ke arah kumpulan pengadil di dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan dan gagal memastikan keselamatan kumpulan pengadil selepas perlawanan (pertuduhan ketiga).”

Dua bulan kemudian, penyokong Selangor FC pula terlibat dalam insiden pergaduhan dengan penyokong lawan. Juga di Stadium MBPJ. Sebanyak 23 orang ditahan polis dan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rekod-rekod insiden buruk yang melibatkan Selangor FC ini mendedahkan ketidaktekalan mesej Dr Johan. Dari kegagalan menghalang serangan terhadap pengadil hingga pertembungan antara penyokong kelabnya dengan kelab lawan, keterlibatan Selangor FC dengan kes-kes ini menyukarkan mangsa kes-kes ini untuk berdiri di belakang mesej Dr. Johan. Lain yang dicakap, lain yang dibuat.

Percanggahan antara retorik dan realiti ini telah terbukti kerana keselamatan pengadil dan penyokong lawan telah dikompromi apabila berada di Stadium MBPJ. Walaupun kelab itu menyokong mesej supaya persekitaran yang lebih selamat untuk pemain dan penyokong, Stadium MBPJ sendiri pernah menjadi lokasi kes-kes polis dan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Kesimpulannya mudah sahaja. Apa yang berlaku kepada Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim bukan kes ‘keganasan bola sepak’ seperti yang didakwa oleh Dr. Johan dalam MalayMail semalam. Ia adalah kes keganasan – noktah. Ketiga-tiga kes berlaku di luar domain bola sepak. Dengan mengaitkan ketiga-tiga kes ini dengan motif bola sepak, Dr. Johan seperti mahu menganggu siasatan polis. Biarlah polis yang menentukan sama ada tiga kes ini merupakan kes keganasan, kes berkaitan dengan bola sepak ataupun berkaitan dengan perkara lain yang melibatkan setiap individu tersebut secara peribadi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN